suria

Tiada kelab peminat untuk mengundi, Schawal tak terancam pasangan artis baharu

Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

PASANGAN selebriti popular Awal Ashaari dan Scha Alyahya atau Schawal tidak berasa terancam kehadiran pasangan selebriti baharu yang lebih mendapat perhatian.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, peralihan peminat kepada selebriti lain adalah perkara biasa dalam dunia hiburan.

“Kami tidak mempunyai kelab peminat yang berperanan untuk mengundi atau mempertahankan populariti kami. Semua yang berlaku adalah secara semula jadi dan bukan dengan strategi tertentu.

“Jika mereka (peminat) kini beralih kepada pasangan lain itu adalah hak mereka kerana mereka bukan milik kita. Bagi kami tiada istilah terancam itu,” ujarnya kepada mStar Online.

Awal dan Scha ditemui pada sesi rakaman program Rojak yang diadakan di Sri Pentas 2, Shah Alam, baru-baru ini.

Scha dan Awal akur lumrah peredaran kehidupan dunia seni.

Awal dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya berkahwin pada 5 Mei 2012. Pasangan ini dikurniakan anak perempuan Lara Alana yang berusaha empat tahun.

Dalam pada itu, pasangan itu menyifatkan populariti yang diraih sebagai pasangan suami isteri popular sudah digunakan sebaik mungkin dalam kerjaya mereka sebagai anak seni.

“Sudah cukup rasanya kita berada pada titik perhatian itu dan beri peluang kepada orang lain pula. Kami juga sudah menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin terutama dari segi kerjaya. 

"Sekarang kita meneruskan apa yang kita lakukan seperti biasa,” ujarnya.

Sementara itu, Scha berkata, dia tidak terfikir untuk menubuhkan kelab peminat bagi bersaing kembali dengan mana-mana artis.

Dia selesa dengan apa juga yang berlaku dalam secara semula jadi tanpa perancangan atau strategi tertentu.

“Mana-mana klien yang mahukan kita sekeluarga melihat dari pelbagai sudut bukan hanya pengikut ramai atau menang anugerah sahaja.

“Mereka ada cara dan kajian tertentu yang menarik minat mereka untuk menjadikan mana-mana artis sebagai duta sesuatu produk,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain