suria

Selepas 10 Tahun ‘Berbulan Madu’ Akhirnya Isteri Adam Corrie Hamil

Adam Corrie dan isteri Fazema Mohd Fuad bakal menimang cahaya mata sulung pada Julai depan selepas 10 tahun berkahwin.

SELEPAS 10 tahun menanti, pelakon Adam Corrie Lee mendedahkan dia bakal bergelar seorang bapa tidak lama lagi.

Adam atau Adam Corrie Lee Abdullah, 50, berkata, isterinya, Fazema Mohd Fuad kini hamil lima bulan dan dijangka bersalin pada Julai depan.

"Alhamdulillah... syukur kepada Allah kerana doa kami suami-isteri selama ini akhirnya dimakbulkan juga.

"Isteri saya kini sedang hamil lima bulan dan Insya-Allah dijangka bersalin pada Julai depan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Adam terdahulu memaklumkan mengenai perkhabaran gembira itu bersama peminatnya di Facebook selain memuat naik gambarnya yang sedang memegang foto imbasan tiga dimensi kandungan isterinya.

Adam dan Fazema tidak kisah mengenai jantina anak asalkan bayi mereka sihat. 

"Allah dah bagi kami berbulan madu 10 tahun, Insya-Allah kelak bertiga pula," tulisnya.

Dalam pada itu, Adam berkata, dia gembira dan tidak sabar apabila mengetahui isterinya sedang hamil dan berharap semua mendoakan agar semua urusan kelahiran bayinya dipermudahkan.

Kata Adam lagi, setakat ini mereka masih belum mengetahui jantina bayi dikandungkan isterinya namun tidak kisah mengenai perkara itu asalkan bayi yang dilahirkan nanti sihat.

"Doa saya adalah anak kami nanti sihat, sempurna, berakal cerdas dan mengerita dalam urusan agama.

Pasangan ini berkahwin pada 2008.

"Saya juga berharap bayi ini nanti diberikan umur yang panjang, sihat jasmani dan rohani selain bagus budi pekerti dan fasih lisannya," katanya.

Adam menerusi status di Facebooknya juga berharap anaknya itu nanti mempunyai suara yang bagus untuk membaca al-Quran dan seorang yang tinggi darjatnya dan berharap dia menjadi manusia selamat di dunia dan akhirat serta taat kepada agama dan Allah.

Sementara itu, Adam turut mendoakan agar pasangan suami-isteri yang belum dikurniakan cahaya mata agar segera diberikan kurniaan itu.

"Saya doakan juga mereka yang masih menanti rezeki zuriat semoga Allah berikan zuriat juga," katanya.

Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad, 36 pada 2008.

Adam Corrie, Fazema Mohd Fuad

Artikel Lain