suria

Maria Farida Menang Saman, Usahawan Diarah Bayar RM400,000

Maria Farida menang kes saman fitnah terhadap usahawan kosmetik pada Isnin. Foto Arkib THE STAR

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memerintahkan usahawan kosmetik iaitu Hadijah Mohamed Mokhtar dan anak perempuannya membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 kepada Maria Farida atas kesalahan memfitnah pelakon itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memerintahkan Hadijah membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 manakala anak perempuannya, Nur Shazleen Anis Mohd Yusoff membayar RM100,000 kepada Maria atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza, 48 tahun.

Kedua-dua defendan turut diperintah membayar kos RM50,000 kepada Maria.

Wan Ahmad membuat keputusan itu selepas kedua-dua defendan gagal menghadirkan diri pada perbicaraan kes itu.

Manakala Maria diwakili peguam, Tengku Haris Tengku Rostam pada perbicaraan itu.

Maria bersama suami, Datuk Rahman Shakur. 

Dalam pada itu, mahkamah turut menolak saman balas yang dibuat Hadijah terhadap Maria yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah menerusi sebuah program hiburan 25 Oktober 2015.

Maria memfailkan saman terhadap Hadijah atau lebih dikenali sebagai Karen Rahman dan Nur Shazleen pada 30 Disember 2016 atas dakwaan fitnah terhadapnya di Instagram, Facebook dan sebuah portal.

Pelakon itu juga turut memohon perintah injuksi bagi menghalang Hadijah dan Nur Shazleen daripada mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang boleh merosakkan reputasinya.

Dia juga memohon perintah menghalang kedua-dua defendan daripada menghubungi termasuk menerusi panggilan telefon, mesej, media sosial atau apa sahaja medium komunikasi melainkan peguamnya.

Maria juga menghalang Hadijah daripada menggunakan atau menerbitkan gambarnya bagi tujuan mempromosi sebarang produk syarikat wanita itu.

Maria Farida

Artikel Lain