suria

Janganlah Jodohkan Ara Johari Dengan Khai Bahar

Ara akui Khai jejaka yang baik dan menyenangkan. Foto: SYAZANA ABD SHUKUR / THE STAR

PENYANYI Ara Johari menyedari ada peminat yang mengharapkan dia menjalinkan hubungan cinta dengan Khai Bahar.

Bagaimanapun, Ara, 21, berkata, dia tidak kisah mengenai perkara itu dan secara peribadi mengakui Khai seorang teman yang baik dan menyenangkan.

"Memandangkan kami dalam kelompok artis baru menyebabkan kami rapat dan Khai juga seorang sahabat yang baik dan mudah berkomunikasi. Janganlah jodohkan kami!

Ara bersahabat baik dengan Khai Bahar dan artis baharu yang lain.

"Kelakar juga bila ada orang jodohkan kami sampaikan rakaman video kami bergurau semasa Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang lalu turut viral dan mendapat perhatian peminat.

"Saya tak salahkan peminat dan biasalah tentang hal itu. Cumanya apa yang boleh saya kata kami hanya berkawan dan sepanjang mengenali Khai dia seorang lelaki yang baik," katanya kepada mStar Online.

Penyanyi lagu Bunga ini ditemui semasa sidang media Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sabah di Philea Mines Beach Resort City, Seri Kembangan, Selangor pada Khamis lalu.

Barisan selebriti yang bakal memeriahkan Program Temuduga SL1M Peringkat Negeri Sabah di Dewan Canselor UMS pada 17 dan 18 Mac ini.

Menyentuh mengenai perjalanan kariernya selepas menyertai AJL32 baru-baru ini, Ara memaklumkan dia menerima banyak impak positif.

"Orang lebih fokus pada persembahan kita dan banyak benda positif saya terima. Alhamdullilah ramai komposer yang berminat nak buatkan lagu dan tawaran persembahan semakin banyak.

"Sekarang ni saya mahu fokus dengan nyanyian dan dalam rangka promosi lagu Bunga yang semakin diterima ramai," katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Ara bakal mengusahakan perniagaan katering Ara Kitchen By Ara Johari di Shah Alam tidak lama lagi.

Ara Johari

Artikel Lain