suria

Bunkface, Jeffrydin Bakal Berduet

Bunkface pilih Datuk Jeffydin dan Caprice untuk kolaborasi terbaru. Foto Instagram: @bunkface.

SELEPAS kolaborasi bersama penyanyi Amy (Search), terbaharu kumpulan Bunkface bakal berduet dengan penyanyi pop yeh yeh iaitu Datuk Jeffrydin.

Vokalis kumpulan itu, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 31, berkata pemilihan tersebut disebabkan Jeffrydin lebih dikenali berbanding penyanyi lain.

Menurut Sam, Jeffrydin atau nama sebenarnya Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman, mempunyai teknik tarian yang menarik perhatian mereka selain bapanya juga peminat lagu-lagu penyanyi itu.

"Sebab tak ada orang cari Datuk Jeffrydin. Kalau kita lihat penyanyi pop yeh yeh siapa aja yang ke depan selain dia.

Kolaborasi pertama Jeffrydin (kiri) dan Caprice bersama Bunkface.

"Memang ada ramai lagi tapi dia lebih dikenali daripada mereka semua. Tambahan pula, dia ada teknik tarian genre itu yang menarik perhatian kami.

"Selain itu, salah satu sebab juga pilih Jeffydin sebab ayah saya suka dia," kata Sam kepada mStar Online.

Sam ditemui ketika sidang media Raikan Hari Lahir Boboiboy di Pejabat Kemajuan Negeri Perak, Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya pada Selesa lalu.

Selain Jeffrydin, lagu yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat itu juga menampilkan penyanyi rap, Caprice yang dianggap mewakili peminat golongan muda.

Malah, kumpulan yang popular menerusi lagu Darah Muda itu menggabungkan tiga generasi yang berbeza menerusi satu lagu.

Paan dan Sam hadir ke sidang media raikan hari lahir Boboiboy pada Selasa. Foto: INTAN SYUHADA.

"Memang tujuan kami nak kolaborasi dengan Jeffrydin sebab nak tarik peminat lama. Lagu itu juga ada menampilkan Caprice yang mewakili peminat baru.

"Apa yang dia buat itu sesuai untuk menarik golongan remaja. Jadi, kami dapat gabungankan tiga generasi yang berbeza dalam satu lagu," ujarnya.

Selain Sam, Bunkface juga dianggotai oleh Farouk Jaafar atau Youk, 29, dan Paan atau nama sebenarnya Ahmad Farhan, 31.

Dalam pada itu, Bunkface bakal menghiburkan peminat sempena meraihkan hari lahir animasi bersiri, Boboiboy pada 24 Mac depan di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh.

Selain Bunkface, Ruffedge juga akan menghiburkan pengunjung di MAPS Ipoh, Perak. Foto: INTAN SYUHADA.

"Kami akan membuat persembahan sempena menyambut ulang tahun kelahiran Boboiboy pada 24 Mac depan.

"Insya-Allah persembahan itu akan berlangsung selama setengah jam dan kami akan menyanyikan sebanyak lima buah lagu," katanya.

Sepanjang cuti sekolah bermula dari 17 hingga 25 Mac depan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan oleh MAPS untuk para pengunjung selain persembahan daripada artis terkenal, Ruffedge, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone.

Bunkface, Datuk Jeffydin, Caprice

Artikel Lain