suria

Ruffedge Ambil Masa Dua Tahun Untuk Muncul Semula

Ruffedge mengakui bukan mudah untuk membuat kemunculan semula. Foto Instagram: Ruffedge

KUMPULAN Ruffedge memaklumkan bukan mudah untuk merancang kemunculan semula memandangkan masing-masing sudah mempunyai karier berlainan.

Mewakil Ruffedge, Mode Abdullah, 43, berkata rancangan tersebut akhir berjaya dilaksanakan pada tahun ini biarpun ia mengambil masa selama dua tahun.

"Kami semua sudah ada karier yang berlainan dan memang agak sukar untuk berbincang mengenai perancangan kemunculan semula.

"Alhamdulillah, perancangan tersebut akhirnya berjaya dilaksanakan pada tahun ini selepas dua tahun kami merancang bersama," kata Mode kepada mStar Online.

Zain (dari kiri) Mode, Azan, Cat Farish dan Syed Hussein.

Dalam pada tiu tambah Cat Farish, 44, pula, mereka akan mengeluarkan single terbaharu pada penghujung Mac depan dan bakal mengadakan konsert pengenalan semula sebelum bulan Ramadan atau selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Insya-Allah pada penghujung bulan Mac depan Ruffedge akan mengeluarkan single terbaru. Tajuk lagu tersebut masih dirahsiakan dan akan diberitahu pada pelancaran nanti.

"Selain itu juga, kami ada perancangan untuk mengadakan sebuah konsert pengenalan. Bukanlah konsert besar tapi khas untuk peminat setia yang menyokong Ruffedge dari dulu lagi.

Penampilan Ruffedge menerusi lagu Tipah Tertipu ketika Anugerah Juara Lagu 2004 .

"Konsert tersebut mengikut rancangan dijangka akan berlangsung sebelum bulan Ramadan. Paling lewat pun mungkin selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri," ujarnya.

Cat dan Mode ditemui ketika sidang media Raikan Hari Lahir Boboiboy di Pejabat Kemajuan Negeri Perak, Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya pada Selasa.

Selain mereka berdua, Ruffedge juga dianggotai oleh Zain Hamid, 40, Azan Addin, 44 dan Sein, 35.

Dalam pada itu, Ruffedge akan membuat persembahan pertama secara umum sempena meraikan hari jadi animasi bersiri popular Boboiboy di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh, Perak pada 17 Mac depan.

Selain Ruffedge, Bunkface turut akan menghiburkan pengunjung di MAPS Ipoh, Perak.

Kata Cat, mereka akan menghiburkan pengunjung selama dua jam bukan hanya dengan nyanyian tetapi diserta aktiviti bersama.

"Ruffedge akan membuat persembahan pertama kali selepas kemunculan semula ini secara umum sempena menyambut hari lahir Boboiboy di Ipoh, Perak.

"Insya-Allah kami diberikan masa dua jam untuk menghiburkan pengunjung yang datang. Bukan hanya nyanyian sahaja tetapi akan ada aktiviti bersama di atas pentas," katanya.

Sepanjang cuti sekolah bermula dari 17 hingga 25 Mac depan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan oleh MAPS untuk para pengunjung selain persembahan daripada artis terkenal, Ruffedge, Bunkface, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone.

Ruffedge

Artikel Lain