suria

Bukan Masalah Disiplin Shahrol

Shahrol tidak lagi bersama Suria FM.

PETALING JAYA: Pelawak Shahrol (Shiro) menamatkan perkhidmatan sebagai penyampai radio Suria FM bukan disebabkan masalah disiplin, sebaliknya menerima tawaran di stesen radio swasta lain.

Pengurus Program Suria FM, Dj Lin berkata, pelawak berkenaan berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya di stesen radio itu.

"Bukan sebab masalah disiplin atau komitmen, tapi dia dapat tawaran lebih baik daripada Best FM dan saya hormati keputusan dia untuk berhijrah.

"Kami sudah menawarkan gaji lebih tinggi tapi mungkin hati dia sudah di sana, jadi kita lepaskan sahaja," ujarnya kepada mStar Online.

Shahrol Hanya 3 Bulan Bersama Suria FM

Dj Lin atau Roslinda Abd Majid menafikan dakwaan pemberhentian pelawak tersebut adalah berkaitan masalah disiplin dan prestasi kerja yang kurang memuaskan.

Shahrol (dari kiri) bersama Zulin Aziz dan Fizi Ali ketika mengendalikan segmen Ceria Pagi Suria.

Shahrol mengendalikan segmen Ceria Pagi Suria bersama Zulin Aziz dan Fizi Ali selama tiga bulan.

Tambah Lin, biarpun mengakui terdapat kemerosotan pada keputusan tinjauan ukuran pendengar dalam masa tiga bulan ketika pelawak itu bersama segmen pagi, namun dia tidak meletakkan kesalahan itu kepada pelawak berkenaan semata-mata.

"Saya akui survey tiga bulan sebelum ini agak jatuh pada segmen pagi tapi tidak adil untuk kita salahkan atau menilai prestasi dia daripada tiga bulan pertama. Ia adalah tanggungjawab satu pasukan.

"Sekurang-kurangnya dalam masa setahun baru kita boleh nilai sama ada seorang penyampai itu mampu atau tidak untuk menarik pendengar," ujarnya.

Sementara itu, Lin berkata, dia akan membuat pembaharuan pada tahun depan untuk menggantikan kekosongan itu dengan penyampai berpengalaman.

Bagaimanapun, katanya, pemilihan penyampai-penyampai yang akan dibawa masuk bukan dalam kalangan selebriti atau pelawak.

"Saya akan utamakan penyampai yang benar-benar mempunyai bakat sebagai penyampai radio. Saya tidak akan ambil golongan selebriti atau pelawak sebagai penyampai di Suria FM," ujarnya.

Shahrol, Shiro

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain