suria

Dah Naik Pangkat, ‘Suria Cinta’ Tetap Ada

DJ Lin masih mengendalikan segmen 'Suria Cinta' meskipun memegang jawatan baharu dalam pengurusan Suria FM. Foto: DJ Lin

PENYAMPAI radio Suria FM, DJ Lin akan terus mengendalikan segmen Suria Cinta meskipun dia kini sudah memegang jawatan baharu dalam pengurusan Star Radio Group.

DJ Lin, 40, berkata, isu ini menjadi perhatian pendengar setia Suria Cinta apabila mereka mengetahui dia kini menyandang jawatan Pengurus Program Suria FM.

"Jangan risau, buat masa ini pihak pengurusan masih memerlukan DJ Lin untuk terus kendalikan slot Suria Cinta disebabkan rating program tu sendiri dan respons yang tinggi daripada pendengar.

"Walaupun dah memegang jawatan baru dalam pengurusan radio, saya masih keudara menghiburkan pendengar Suria Cinta.

"Tak apalah kalau penat sikit, sebab saya memang meminati bidang penyampaian radio ini dan Suria Cinta sudah sinonim dengan saya," katanya kepada mStar Online.

DJ Lin kini menyandang jawatan Pengurus Program Suria FM.

Segmen Suria Cinta bersiaran setiap hari Ahad hingga Jumaat, pukul 8 malam hingga 1 pagi.

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid telah dilantik menyandang jawatan Pengurus Program Suria FM bermula 1 November lalu.

Ditanya mengenai perancangan membangunkan stesen radio milik penuh Star Media Group itu, DJ Lin sudah merangka beberapa strategi untuk stesen radio tersebut.

Antara yang akan diperkasakan ialah pemilihan lagu, segmen dan program radio serta barisan penyampai.

"Sekarang ini saya sudah merangka beberapa perancangan untuk Suria FM dan segalanya akan bermula tahun depan.

"Kita akan bawa satu imej baru kepada Suria FM termasuklah barisan penyampai berpengalaman yang akan menghiburkan pendengar setia kami.

Suria FM akan melalui satu transformasi baharu bagi menarik lebih ramai pendengar.

"Cumanya, siapa penyampai yang akan menyertai kami tidak boleh diumumkan lagi kerana masih dalam perbincangan, tunggulah tiba masanya nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, DJ Lin turut berharap pendengar akan terus memberi sokongan kepada stesen radio tersebut.

Meskipun akan berlaku perubahan besar sepanjang penjenamaan Suria FM, dia percaya kandungan radio tersebut akan memenuhi permintaan pendengar dan mengikut trend semasa.

"Kita akan ikut apa yang pendengar mahu dengan memainkan lagu-lagu hit dan terkini.

"Selain itu, program radio kami juga menitikberatkan aspek kandungan lebih segar, kreatif, dari segi pemihan topik, tetamu dan rencana (mini segmen yang terdapat dalam slot)," ujarnya.

DJ Lin, Suria FM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sherry Alhadad Pernah Putus Asa

Artikel Lain