suria

Hikmah Di Sebalik Kematian Anak - Bazli (UNIC)

Bazli bersama Allahyarham Muhammad Syahid.

LIMA bulan pemergian anak kesayangan Muhammad Syahid, 4, akibat kanser kelenjar, ahli kumpulan UNIC, Bazli Hazwan Che Osman berkata, dia dan isteri sudah menerima kenyataan itu dengan hati terbuka.

Bazli, 33, berkata, dia kini mula melihat hikmah di sebalik ujian berat yang dilalui bersama isterinya Asiah Abu Bakar itu.

"Saya dan isteri terima perkara itu dengan hati yang terbuka dan selepas lima bulan ini kami sudah meneruskan kehidupan seperti biasa, rindu sikit-sikit itu biasalah.

"Tapi, apa yang saya nampak ialah hikmah disebalik ujian itu, yang mana tawaran rezeki itu tidak putus," ujarnya kepada mStar Online.

Bazli kehilangan anak sulung pada 7 Jun lalu. Pasangan berkenaan mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Muhammad Assfan yang berusia setahun.

Bazli terima ketentuan dengan hati terbuka.

Bazli berkata, dia dan isteri kini menerima banyak undangan ceramah motivasi yang mahu berkongsi tentang pengalaman mereka berhadapan dengan ujian itu.

Katanya, cerita arwah yang juga seorang kanak-kanak autism banyak menyentuh hati masyarakat.

"Alhamdulillah, ramai yang mengundang saya untuk memberi ceramah motivasi dan berkongsi pengalaman bagaimana berhadapan ujian itu dengan tenang. Mereka bertanya bagaimana saya mendapat kekuatan itu ketika sedang berjuang dalam pertandingan program realiti Gema Gegar Vaganza lalu.

"Dulu isteri saya suri rumah, namun kini dia juga aktif diundang untuk kongsi pengalamannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Bazli berkata, dia turut menerima mesej peribadi daripada individu luar negara dari Indonesia dan Scotland untuk berkongsi masalah.

"Ramai dari Indonesia yang mesej beri semangat dan inspirasi dengan apa yang dilalui Syahid, ada juga yang mesej meluahkan keadaan mereka yang melalui ujian yang sama.

"Ada juga seorang individu dari Scotland yang bertanya banyak tentang Islam selepas mengikuti cerita Syahid," ujarnya.

Bazli UNIC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aiman Tino Bakal Tunai Umrah

Artikel Lain