suria

“Tajuk Tu Bukan Dia Punya” - Ahmad Idham

Idham nafi tiru tajuk filem Pekin.

JIKA sebelum ini berlaku kekecohan antara pengarah Ahamd Idham dan Pekin Ibrahim berhubung persamaan filem tajuk Mat Moto, perkara yang sama nampaknya berulang kembali.

Kali ini Ahmad Idham yang akan menghasilkan filem Hantu Wangan dikatakan sengaja meniru tajuk filem arahan Pekin iaitu KL Wangan yang sedang dalam penggambaran.

Ahmad Idham berkata, tajuk yang digunakannya itu boleh dipakai oleh mana-mana pihak selagi ia belum dipatenkan.

"Saya tidak meniru mana-mana pihak, tak salah pun saya pakai tajuk itu kerana ia bukan kepunyaan siapa-siapa selagi ia belum dipatenkan.

"Kalau nak kira begitu, tajuk 'Hantu' pun saya tak boleh buat sebab abang Mamat Khalid dah buat Hantu Kak Limah," ujarnya kepada mStar Online, pada Isnin.

Takut Idea Diciplak, Pekin Ibrahim Enggan Kongsi Projek Baharu

Idham berkata demikian ketika diminta mengulas tajuk filem terbaharunya berjudul Hantu Wangan dikatakan seakan-akan sama dengan tajuk filem Pekin Ibrahim KL Wangan.

Filem KL Wangan arahan Pekin bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Terdahulu, pada Disember 2015, kedua-dua anak seni ini pernah mencetuskan kontroversi apabila filem mereka menggunakan tajuk yang sama iaitu Mat Moto yang ditayangkan secara serentak di pawagam.

Tambahnya, Pekin tidak perlu bimbang kerana filem tersebut mempunyai genre berbeza daripada filem KL Wangan yang yang sedang dihasilkan pelakon itu.

Jelasnya, dia juga tidak akan ditayangkan pada masa yang sama dengan tayangan filem arahan Pekin itu.

"Dia tidak perlu takut kerana genre filem saya seram komedi dan bukan cerita pasal aksi lumba-lumba kereta. Ia tentang sekumpulan remaja yang menyesal dengan perbuatan mereka lumba haram apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya.

"Pekin punya filem sudah lama penggambarannya dan sudah tentu dia akan tayang dulu, sedangkan filem saya baru mula penggambaran," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Idham berkata, sebagai anak seni yang sama-sama berkarya perlu mengambil perkara tersebut daripada sudut positif.

"Tidak perlu ada rasa tidak puas hati atau takut kerana ia adalah persaingan yang positif. Kita perlu saling menyokong antara satu sama lain dan barulah industri filem kita berkembang," ujarnya.

Ahmad Idham, Pekin Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eizlan Terima Maaf Zizan

Artikel Lain