suria

Kejayaan Fazley Di Sebalik Kerja Cuci Pinggan

Fazley Yaakob

SIAPA sangka di sebalik kejayaan cef dan penyanyi terkenal Datuk Fazley Yaakob, dia sebenarnya pernah bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran India ketika belajar di New Zealand.

Fazley, 39, berkata, dia bekerja secara sambilan di restoran berkenaan ketika berusia 17 tahun bagi mencari pendapatan sampingan sebagai pelajar di sana.

"Asas masakan saya ialah masakan India kerana saya pernah menjadi pencuci pinggan di sebuah restoran India ketika belajar di New Zealand.

"Pada mulanya cuci tandas kemudian jadi pencuci pinggan dan tolong cef sediakan bahan-bahan untuk masakan. Dari situ saya belajar memasak dan timbul rasa minat terhadap bidang ini," ujarnya kepada mStar Online.

Fazley berkata, dia menerima upah sebanyak USD$10 sejam ketika bekerja di restoran berkenaan.

Tambahnya, biarpun berada dalam keluarga yang mampu, dia memilih untuk berdikari dan cuba menimba pengalaman di negara luar.

Fazley menerimah anugerah Alumni Paling Cemerlang sempena Majlis Gala Alumni Le Cordon Bleu.

"Balik kelas saya terus masuk bekerja selama lapan jam di restoran tersebut. Walaupun pendapatan tidak banyak tapi dapat juga menambah duit belanja di sana," ujarnya.

Fazli mengulas tentang kejayaan demi kejayaan yang ditempanya sejak terlibat dalam bidang kulinari.

Terbaharu, Fazley berjaya mengharumkan nama negara dengan pengitirafan anugerah Alumni Paling Cemerlang sempena Majlis Gala Alumni Le Cordon Bleu yang diadakan di kampus tersebut di Paris, pada Isnin lalu.

Institusi berkenaan banyak melahirkan cef-cef terkenal dunia sejak tahun 1985.

Fazley mengambil Diploma de Patisserie di institusi tersebut pada tahun 2013.

Tambahnya, penilaian tersebut dibuat berdasarkan pencapaian yang diterimanya selepas tamat belajar pada empat tahun lalu.

"Penilaian ini dibuat melalui pencapaian saya selepas tamat belajar. Iaitu dari artikel-artikel yang keluar dalam dan luar negara serta program-program yang saya buat.

"Mereka turut mengambil kira produk-produk yang mengambil dalam dan luar negara yang mengambil saya sebagai duta dan juru cakap," ujarnya.

Fazley Yaakob

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain