suria

Bront Palarae Pengulas Final Bola Sukan SEA?

Bront mengambil cadangan agar dia menjadi pengulas bola sepak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sebagai satu pujian.

KEMUNCULAN pelakon Bront Palarae memegang watak sebagai pengulas sukan dalam filem Ola Bola tahun lalu meninggalkan kesan cukup mendalam dihati penonton.

Mana tidaknya, ada cadangan diutarakan di Twitter supaya pelakon berkaliber itu dilantik sebagai pengulas bola sepak pada perlawanan akhir skuad Malaysia menentang Thailand, Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada 29 Ogos nanti.

Seorang pengguna Twitter menggunakan nama @Alongmuizz  yang memulakan petisyen itu turut meminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya menimbangkan perkara itu.

"Kami mahu @Bront_Palarae menjadi pengulas final Sukan SEA. Please make it happen @Khairykj," tulisnya.

Sehingga kini, Tweet itu telah pun mendapat hampir 25,000 ulang Tweet yang rata-rata menyokong cadangan itu.

Pengguna Twitter @Alongmuizz mencadangkan agar Bront menjadi pengulas sukan Sea.

"Please Abah @Khairykj nanti boleh sambung sekual Ola Bola dan sekaligus meningkatkan mutu pengulas sukan kita dan gol!

"Bront, jika anda lakukan ini, ia akan mengingatkan kami kepada filem Ola Bola.

"Skrip atau tidak, saya yakin Bront mampu melakukannya, dia adalah antara artis berbakat besar dan mungkin kita perlu memberinya peluang," antara komen ditinggalkan pengguna Twitter.

Malah cadangan itu turut mendapat sokongan pelakon Sharifah Amani.

Bagaimanapun ada juga membantah cadangan itu kerana tugas itu tidak sesuai dengan Bront memandangkan tanggungjawab sebagai pengulas sukan berat dan perlu bersahaja dalam memberikan komen.

Watak sebagai Rahman mendapat pujian penonton filem Ola Bola.

"Jangan! Bront ikut skrip dan pengulas sukan memerlukan kebolehan bersahaja," tulis seorang pengguna Twitter.

Ada pula mencadangkan agar Bront bergandingan dengan pengulas sukan legenda iaitu Datuk Rahim Razali pada acara itu nanti.

"Alang-alang tu, bergandingan je sekali dengan Datuk Rahim Razali. Harap impian ini dapat realisasikan oleh Abah!

Sementara itu, Bront ketika dihubungi menganggap cadangan itu sekadar pandangan rakyat Malaysia dan mengambilnya sebagai satu pujian.

Bagaimanapun kata Bront, dia tidak merasakan dirinya layak menggalas peranan itu kerana masih ramai pengulas sukan berpengalaman dan berkaliber untuk melakukan tugas itu.

Filem Ola Bola mendapat sambutan luar biasa penonton pada tahun lalu.

"Itu pendapat orang ramai sahaja dan saya pun hanyalah seorang pelakon tetapi saya ambil cadangan itu sebagai satu pujian.

"Ia juga bukti lakonan saya dalam Ola Bola sebenarnya menjadi dan untuk menggalas tanggungjawab itu rasanya ia tidak logik.

"Lagipun ia bukan bidang saya dan pengulas sukan sedia ada pun semuanya dari kalangan terbaik," katanya.

Bront yang kini berada di San Fransisco, memberitahu dia baharu sahaja selesai menjalani kursus pendek selama dua minggu dalam bidang keusahawanan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Pada Sabtu, skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B22) mara ke perlawanan akhir bagi menentang Thailand di Stadium Shah Alam selepas menumpaskan Indonesia, 1-0.

Bront Palarae, KL2017

Artikel Lain