suria

T-Rex Bukan Kemunculan Semula Kamikaze

T-Rex (tengah) bersama dua anggota yang lain Asry (kiri) dan Rahmad (kanan)

SELEPAS tujuh tahun menghilangkan diri, kumpulan yang pernah dikenali sebagai Kamikaze kembali menghangatkan industri hiburan tempatan dengan nama T-Rex.

Vokalisnya, Terence Law berkata, kemunculan semula T-Rex bukan bayangan kepada Kamikaze sebaliknya ia adalah projek istimewa menerusi album single pertama mereka iaitu 7ujuh.

"T-Rex bukan bayangan Kamikaze tetapi kami ingin berdiri sendiri sebagai T-Rex dalam memperjuangkan muzik rock dan atas dasar itu kami tampil dengan 7ujuh.

"Tetapi itu tidak bererti kami tidak ingin dikaitkan dengan Kamikaze dan tidak ada masalah jika peminat masih ingin memanggil kami sebagai Kamikaze," katanya kepada mStar Online.

Vokal padu T-Rex ketika mempersembahkan salah sebuah lagu daripada album solonya berjudul 7ujuh.

Dalam pada itu, Terence berkata, mereka masih berhubung dengan pemain gitar kumpulan itu, Sham namun tidak pernah merancang untuk membuat kemunculan semula bersama Kamikaze.

Malah mereka juga tidak menafikan populariti Sham sewaktu bersama Kamikaze sehingga ada menyangka dia adalah vokalis kumpulan itu.

"Sham memang lebih dikenali berbanding saya sebagai vokalis dan kami memang tiada masalah mengenai hal itu kerana paling penting peminat sukakan lagu-lagu kami," katanya.

Bagaimanapun kata Terence, menerusi T-Rex dan album single 7ujuh, dia berharap peminat boleh menerima mereka tanpa membandingkan dengan Kamikaze.

Bercakap mengenai 7ujuh, Terence memberitahu ia mengandungi dua buah lagu berjudul Kasi Pecah dan 7ujuh yang mempunyai pelbagai kisah disebaliknya.

T-Rex (paling tengah) bersama rakan-rakan yang menjayakan persembahan pelancaran album solo mereka, 7ujuh.

"Dua lagu ini sudah tujuh tahun disimpan dan tujuh juga merangkumi aspek percintaan dan ketuhanan.

“Album ini dan judul sebenarnya mengandungi pelbagai cerita dan saya adalah penyanyi ketujuh yang dipilih terbabit dengan album ini.

"Pada saya lagu ini tiada kena mengena dengan muzik Kamikaze dan saya sendiri cuba elakkan perkara ini. Ia juga kali pertama T-Rex menyanyikan lagu genre balada Melayu," katanya.

Selain Terence, T-Rex turut dianggotai oleh Rahmad dan Asry serta dua pemuzik undangan.

Sepanjang 'kehilangan' mereka, Terence memberitahu mereka sebenarnya aktif mengadakan persembahan residen di Genting Highlands selama lima tahun.

T-Rex, Kamikaze

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain