suria

Hasutan Punca Adam Shahz, Isteri Bercerai

Fatin Afeefa dan Adam Shahz sah bercerai talak satu pada 30 Mei lalu. Foto Instagram @adamshahz

ENGGAN terus berdolak-dalik mengenai punca perceraiannya, pelakon Adam Shahz mengakui hasutan pihak luar menjadi punca bekas isterinya, Fatin Afeefa memfailkan cerai terhadapnya pada 15 Mei lalu.

Tidak menyalahkan Fatin, bagaimanapun Adam mengakui dia benar-benar kecewa apabila ada pihak yang dilihat tidak senang melihat kebahagian rumah tangga mereka dan berselindung di sebalik nama 'kawan' bagi menghancurkan perkahwinan dibina itu.

"Apa yang boleh saya katakan pergaulan bekas isteri dengan rakan-rakan antara penyebab kami bercerai apabila ada di antara teman-temannya tidak senang melihat kami bahagia, mula menghasut dan nampaknya cubaan itu berjaya.

"Kadang-kadang kita tidak boleh baca apa dalam fikiran orang di sekeliling kita dan apa agenda mereka apabila mendekati kita.

"Tetapi tidak perlulah saya butirkan satu persatu kerana saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini sebaliknya menganggap perceraian ini sebagai sudah tertulis untuk kami berdua," katanya ketika dihubungi mstar Online pada Jumaat.

Adam mengakui kecewa apabila bekas isteri memfailkan perceraian.

Adam, 35, menceraikan Fatin dengan talak satu pada 30 Mei lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

Bagaimanapun Adam menegaskan perpisahannya dengan Fatin bukan kerana kehadiran orang ketiga seperti didakwa sesetengah pihak.

Dalam pada itu, Adam berkata, sebagai suami dia berasa kecewa apabila Fatin memfailkan cerai dan mengakui keputusan itu memberi impak mendalam kepadanya.

Kata Adam, dia mengambil masa selama tiga bulan untuk pulih daripada kekecewaan dan sepanjang tempoh itu juga dia berehat daripada dunia lakonan.

"Tipulah kalau saya gembira dengan perceraian ini dan jujurnya ia memberi kesan kepada diri kerana cuba menerima hakikat bahawa kami telah bercerai.

Comel... Adam dan Fatin komited membesarkan dua anak mereka.

"Selepas bercerai saya bercuti daripada lakonan selama tiga bulan kerana ingin menenangkan diri untuk menghadam apakah yang sedang berlaku kepada rumah tangga kami.

"Alhamdulillah sekarang saya rasa lebih baik dan reda dan menerima hakikat bahawa jodoh kami tidak panjang," katanya.

Sementara itu, Adam berkata, dia bersyukur masih dapat menjalinkan hubungan baik dengan Fatin demi membesarkan dua cahaya mata mereka iaitu Adam Aisy Arrian, 4, dan Ivy Herra Sophia, 2.

Menolak tepi semua yang pernah berlaku di antara mereka, Adam berkata, dia dan Fatin sepakat untuk sama-sama memberi komitmen dalam membesarkan dua anak mereka.

"Alhamdulillah di sebalik kepahitan itu masih ada manisnya dan anak-anak menyatukan kami agar terus kekal baik demi membesarkan mereka.

Pasangan ini bercerai pada 30 Mei lalu.

"Saya tidak mahu perceraian kami memberi kesan kepada anak-anak dan mahu mereka menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

"Kami bergilir-gilir menjaga anak dan setakat ini semuanya dalam keadaan baik," katanya.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin atau Fatin Nur Afifah Shamsudin, 22, pada 21 Disember 2013.

Adam Shahz, Fatin Afeefa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain