suria

Johan Terkilan Sandiwara Menimpa Nora - Habsah Hassan

Nora bersama anaknya ketika pengebumian Allahyarham Johan Nawawi. FOTO Bernama.

PETALING JAYA: Penulis lirik Habsah Hassan memberitahu Allahyarham Johan Nawawi pernah mengadu rasa terkilan dengan 'sandiwara' yang menimpa isterinya Nora Ariffin dalam program Gegar Vaganza musim kedua lalu.

Habsah berkata, komposer tersebut sungguh sedih dan kecewa dengan kontroversi yang terpalit pada isterinya ketika program itu berlangsung. 

"Sepanjang kami kenal dia paling terkesan dan sedih dengan kontroversi Nora dalam program Gegar Vaganza musim lalu.

"Dia mengadu, Nora tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian kerana mereka sudah berkerja keras untuk pertandingan itu. Tapi akhirnya dia dapat terima ia adalah permainan dalam industri hiburan," ujarnya kepada mStar Online.

Habsah ditemui di Masjid Ar Rahman, di sini, Jumaat.

Johan Nawawi, 52, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya kira-kira pukul 6.30 pagi Jumaat akibat serangan jantung..

Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 11.30 malam Khamis selepas kesihatannya merosot.

Wajah pilu Nora mengiringi jenazah suaminya untuk dikebumikan. Foto Bernama.

Dalam pada itu Habsah berkata, dia mengenali Johan sejak tahun 1990-an dan arwah seorang yang berakhlak walaupun berada dalam industri hiburan yang penuh ujian ini.

"Kami ada berkolaborasi beberapa buah lagu bersama dan banyak bertukar pendapat tentang industri hiburan tanah air. Kali terakhir saya jumpa dia tiga hari lalu ketika majlis makan malam," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi Datuk DJ Dave memberitahu pemergian Allahyarhan merupakan satu kehilangan buat industri hiburan tanah air.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang yang bijak dan banyak mencipta lagu-lagu berunsur dakwah.

"Saya kenal dia sudah lama dan baru-baru ini kami ada berjumpa dalam sebuah majlis, saya nampak dia sihat seperti biasa. 

Nora bersama anak-anaknya - Foto Bernama.

"Saya terkejut dapat berita sedih kehilangannya pagi tadi. Dia seorang rakan seperjuangan yang baik dan sayangkan industri muzik tempatan," ujarnya.

Penyanyi dan Komposer Datuk M Nasir berkata, dia merupakan antara rakan rapat yang sering bertemu dan bertukar-tukar pendapat jika ada masa terluang.

M Nasir turut menyifatkan Allahyarham seorang rakan pemurah, rajin dan kreatif.

"Kami berkawan baik sudah lama dan selalu berjumpa bukan sahaja di majlis-majlis malah ketika di luar.

"Allahyarham seorang rakan yang baik, rajin dan kreatif. Dia banyak menghabiskan masa di belakang tabir. Saya sangat terasa akan kehilangannya kerana dia seorang yang aktif dan tidak boleh duduk diam," ujarnya.

Johan Nawawi, Nora Ariffin

Artikel Lain