suria

Alif Satar Tak Cukup Tidur Penangan Anak Kedua

Alif akui semakin bahagia selepas kehadiran cahaya mata kedua dalam keluarganya. -foto HAZIM FAUZI / The Star

PETALING JAYA: Hampir sebulan menimang cahaya mata kedua, penyanyi Alif Satar ketika ini masih dalam proses untuk menyesuaikan diri menguruskan rumah tangganya itu.

Menurut Alif, 27, dia berhadapan cabaran yang berbeza apabila terpaksa membahagikan masa untuk anak pertama, Alisha Anugerah yang baru berusia dua tahun selain menjaga isteri yang masih berpantang dan bayi mereka.

"Saya rasa seronok sangat bila dikurniakan dua anak perempuan tapi sejujurnya ia sangat mencabar.

"Tak cukup tidur adalah perkara biasa sehingga ada orang komen di Instagram bertanya mengapa eye bags saya kelihatan begitu ketara," katanya kepada mStar Online di Sri Pentas pada Jumaat.

Aliff atau Muhammad Alif Mohd Satar ditemui pada sidang media pengumuman musim baharu program realiti Clever Girl Malaysia di mana dia bertindak sebagai hos.

Alif bersama isteri dan dua anak perempuannya.

Pada 2 Februari lalu isterinya, Sha Dila Halid melahirkan cahaya mata kedua mereka yang diberi nama Ariana Mecca.

Bercerita lanjut mengenai kehidupan peribadinya, Alif berkata dia cuba membantu meringankan beban isterinya menguruskan anak-anak.

"Saya faham situasi isteri yang sudah pasti penat dengan proses berpantang. Jadi saya akan bantu mana yang boleh termasuk sediakan susu untuk anak pertama.

"Ada kalanya saya juga akan masak makanan pantang untuk isteri," ceritanya dengan penuh semangat.

Ditanya sama ada anak pertamanya menunjukkan tanda-tanda cemburu apabila tumpuan kini pastinya terarah kepada Ariana Mecca, Alif bersyukur apabila perkara seperti itu tidak berlaku.

"Dia tak cemburu, tapi kadang-kadang cara dia dekati adiknya agak kasar.

"Saya pun faham kerana Alisha baru berusia dua tahun. Kami perlu latih supaya dia lebih cermat setiap kali nak sentuh adiknya itu," ujar Alif.

Alif Satar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain