suria

Ada Artis Hanya Dapat RM400, Prism Berhad Gagal Agih Royalti

Penyanyi dan pemuzik yang membuat persembahan di tempat awam kini layak memperoleh royalti. Gambar sekadar hiasan.
PETALING JAYA: Organisasi pengutip royalti iaitu Prism Berhad didakwa gagal mengagihkan royalti kepada ahli-ahlinya melibatkan penyanyi dan pemuzik sehingga ia menimbulkan bantahan ramai.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata, selepas ditolak bayaran RM320,000 kepada pengarah dan lebih RM330,000 kepada kakitangan organisasi itu, ahli-ahlinya hanya mendapat satu jumlah kecil.

Katanya, bagi tempoh 2014 sehingga 2015,  ahli-ahli Prism Berhad hanya diberi ’token’ sama rata iaitu RM400 bagi artis berkumpulan manakala RM600 untuk solo.

Bayaran pengagihan sama rata kepada semua ahli merupakan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip badan kutipan royalti yang mengutip royalti berasaskan penggunaan muzik di tempat awam.

"Dalam sistem tersebut, artis yang mana muzik mereka kerap dipersembahkan di tempat awam harus dibayar lebih berbanding artis yang muziknya kurang  dipersembahkan di tempat awam," kata Freddie dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini pada Selasa.

Freddie Fernandez

Selain Prism Berhad, satu lagu badan kutipan yang diberi lesen mengutip royalti bagi pihak pelaku membabitkan penyanyi dan pemuzik ialah Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

Freddie menambah, pengagihan royalti sama rata ini jelas menujukkan pihak pengurusan Prism Berhad kurang peka dengan cara pengurusan badan kutipan royalti tambahan pula ia turut melibatkan kos perbelanjaan tinggi mereka.

Katanya, persembahan awam muzik boleh mencecah jumlah berjuta-juta ringgit setiap tahun namun jumlah yang diperoleh ahli-ahli Prism Berhad hanyalah dalam bentuk 'token' dan sewajarnya masalah itu tidak berlaku.

Katanya, tindakan Prism Berhad itu jelas berbeza berbanding RPM yang berjaya melaksanakan kutipan royalti dengan sempurna di mana sejumlah wang melebihi RM6.5 juta telah dikutip dalam tiga tahun kebelakangan ini.

Katanya, setiap ahli RPM telah diberi penyata akaun dan dibayar ikut persembahan lagu- lagu mereka di tempat awam, bukan sama rata seperti yang telah dilakukan oleh Prism Berhad.

"Ini merupakan cara pengagihan yang betul dan telus. Pengarah-pengarah RPM pun tidak terima sebarang bayaran dan bertugas secara sukarela," tambah beliau.

Sehubungan itu beliau meminta agar pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan yang mengeluarkan lesen kepada organisasi berkenaan bertindak menanggani masalah itu supaya artis tidak terus menjadi mangsa.
Prism, Karyawan, Freddie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain