suria

Black Hanifah Harapkan Anak Perempuan Zuriat Kedua

Black
PETALING JAYA: Penyanyi Black Hanifah tidak sabar untuk mengetahui jantina anak dalam kandungan isterinya, Naquia Yasirah (Cira) yang kini berusia kira-kira enam minggu.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 28, berkata, memandangkan anak sulungnya adalah lelaki iaitu Khaleef Dayyan yang kini berusia 11 bulan, dia berdoa agar cahaya mata kedua diberikan anak perempuan pula.

"Kalau boleh saya mahu sepasang. Kemudian bolehlah berehat sekejap daripada 'operasi' untuk mendapatkan anak. Hahaha...

"Apa-apapun, saya tidak kisah dengan rezeki yang diberi. Cuma kalau boleh, saya harapkan anak perempuan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Black, dia kini lebih tenang dalam membuat persiapan menyambut kehadiran anak keduanya berbanding  ketika menanti anak pertama, di mana dia terlalu teruja sehingga membuatkan dirinya sedikit huru-hara.

Kata Black, dia juga mahu mengelakkan pembaziran dan akan mengguna semula pakaian Khaleef buat anak keduanya nanti.

Black (duduk) bakal terlibat dengan Mentor Milenia bersama Hazama, Akim dan Azlan. Foto BRIAN MOH

"Alhamdulillah. Masih teruja, tetapi saya lebih tenang dan persiapan daripada segi baju pun dah ada. Baju Khaleef yang tidak muat itu akan diguna pakai. Maka tidaklah berlaku pembaziran.

"Memandangkan saya pernah mengalami pengalaman ketika isteri mengandung anak sulung, jadi saya tahu apa yang perlu dan tidak patut dibuat," ujarnya.

Ditanya adakah Cira sudah mula mengidam kata Black, setakat ini isterinya mengidam dua jenis makanan iaitu sate ikan dan telur penyu.

"Pada mulanya, isteri mahukan sate ikan, tetapi apabila saya nak beli, ia habis dijual pula.

"Kemudian dia teringin pula makan telur penyu. Memang Cira seorang yang kuat mengidam apabila mengandung," tuturnya.

Dalam pada itu, Black meluahkan rasa syukur kerana tidak mempunyai sebarang alahan seperti yang dialami segelintir suami ketika isteri mereka sedang hamil.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Black akan muncul dengan albu baharu yang dijangka akan dilancarkan pada bulan ini.

Selain itu, Black juga bakal terlibat sebagai mentor bersama Akim, Hazama dan Azlan (The Typewriter) bagi program realiti Mentor Milenia bermula pada 3 Januari 2015.
Black

Artikel Sebelum

Artikel Lain