suria

Ibu Tunggal Seperti Erra Fazira Tidak Molek Jaja Kisah Cinta

Erra Fazira
PETALING JAYA: Penyanyi Erra Fazira enggan mengejar populariti dengan cara mencanang kisah cinta terbahrunya kerana ia dilihat tidak manis sebagai seorang wanita dan ibu tunggal.

Malah katanya, jika kisah itu terlalu diuar-uarkan, dia bimbang kenyataan tersebut akan memakan diri.

"Tidak molek rasanya dengan status dan usia saya sekarang untuk mencanang soal percintaan tambahan pula saya pihak wanita.

"Saya juga bimbang sekiranya keluar pelbagai kenyataan ia akan memakan diri sendiri sekiranya ada apa-apa berlaku nanti," ujarnya kepada mStar Online.

Erra ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Julia Betty dan Asha Karim yang diadakan di Flora Terrace di sini, Selasa.

Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abdin pada 25 Oktober 2007 dan  bercerai pada 18 Februari 2014.

Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak bernama Engku Aleesya yang kini berusia enam tahun.

Erra Fazira

Sebelum itu Erra pernah bertemu jodoh dengan penyanyi Yusry Abdul Halim dan bernikah pada 15 Jun 2003. Mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa dikurniakan cahaya mata.

Dalam pada itu Erra berkata, tujuan dia membuat pengakuan sudah mengenali seorang lelaki bujang sebelum ini adalah untuk mengelak dia didekati pemuda lain.

Ia juga kata Erra dapat menghentikan tuduhan daripada terus dikaitkan mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki seperti terjadi  sebelum ini.

"Sebelum ini saya sering dikaitkan dengan pelbagai individu dan ia menimbulkan banyak salah faham walaupun ia tidak benar.

"Penjelasan mengenai dengan siapa saya sedang berkawan sebenarnya dapat menghentikan segala spekulasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Erra kini banyak menumpukan perhatian dalam bidang pengacaraan berbanding lakonan bagi memastikan dapat meluangkan masa bersama anaknya.

"Tawaran itu ada tetapi kebanyakkannya bertembung dengan jadual penggambaran rancangan Primadona (terbitan Astro).

"Pun begitu saya selesa dengan bidang pengacaraan kerana ia lebih fleksibel dan masa bersama anak juga tidak terganggu," jelasnya.

Erra Fazira

Artikel Lain