suria

Hattan Lakukan Solat Istikharah Sebelum Pilih Adel

Hattan

SHAH ALAM: Pengetua Akademi Fantasia 2014 (AF2014) Datuk Hattan memberitahu,  beliau telah melakukan solat sunat Istikharah bagi memilih pelajar yang tersingkir dalam rancangan itu untuk diserap semula ke dalam program tersebut.

Hattan atau Mohd Shukri Shahabudin, 50, berkata, dia berbuat demikian kerana bimbang tersalah pilih pelajar yang berpotensi tinggi untuk berentap pada peringkat akhir AF 2014 pada Ahad ini.

"Bayangkan daripada tujuh peserta, saya bersama tenaga pengajar lain membuat senarai pendek kepada lima dan kemudian tiga peserta iaitu Muna, Zarif dan Adel.

"Apabila dah pening sangat, saya melakukan solat Istikharah sendirian untuk memilih siapa yang layak untuk bertanding semula ke dalam program ini. Saya tak mahu tersalah pilih kerana ia melibatkan masa depan mereka," katanya kepada mStar Online.

Nuha

Solat Istikharah merupakan ibadah sunat bagi membolehkan seseorang memohon kepada Allah untuk memilih jalan yang lebih baik antara dua pilihan.

Pada malam Ahad, peserta yang tersingkir dua minggu lalu iaitu Adel telah dimasukkan semula menerusi 'AF Serap' untuk mengiringi empat peserta lain iaitu Firman, Aman, Ewal dan Nuha ke peringkat akhir program itu.

Pemilihan 'AF Serap' yang dibuat oleh barisan tenaga pengajar dan produksi itu pernah diperkenalkan dalam rancangan AF sebelum ini iaitu membawa masuk semula pelajar yang pernah tersingkir yang dikenali sebagai 'AF Masuk'.

Sementara itu, Hattan berkata, peserta-peserta yang bakal berentap pada peringkat akhir ini mempunyai kelebihan tersendiri dalam menarik perhatian penonton untuk mengundi.
Aman

"Apa yang saya nampak ialah Aman. Walaupun dia tidak boleh menyanyi, kejujurannya untuk memperbaiki persembahan membuatkan ramai yang menyukainya terutama sekali bagi golongan remaja. Jangan terkejut jika dia meraih gelaran juara pada malam itu kerana peminat dia ramai," ujarnya.

Bagaimanapun Hattan berkata, berdasarkan kemampuan vokal dan persembahan, dia menjangkakan Nuha atau Firman mungkin akan memenangi pertandingan tersebut.

AF 2014 disiarkan secara langsung setiap Ahad pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) yang bersiaran selama 10 minggu.


Hattan, AF 2014

Artikel Lain