Heliza, 28, berkata, kedua-dua selebriti itui menunjukkan semangat mereka untuk menjadi muslim yang lebih baik berbanding sebelumnya.
"Alhamdulillah pintu hati mereka terbuka untuk berhijrah sehingga saya sendiri rasa kagum dengan usaha mereka yang bersungguh-sungguh mahu mendalami Islam.
"Felixia setiap minggu hadir kelas agama dan ada satu ketika dia datang dengan teksi kerana tidak tahu tempat usrah tersebut, begitu juga Neelofa yang tidak pernah ketinggalan menyertai kelas-kelas agama," ujarnya kepada mStar Online selepas majlis pengumuman Heliza Helmi sebagai duta terbaharu produk penjagaan rambut Sunsilk.
Heliza berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penghijrahan beberapa selebriti tempatan pada Ramadan ini.
Tambah Heliza, kesungguhan mereka membuatkan dirinya berasa malu kerana sering memberi pelbagai alasan jika tidak hadir ke kelas-kelas agama.
Katanya, dia sentiasa berharap agar lebih ramai lagi selebriti yang berhijrah menjadi lebih baik.
"Saya lihat Felixia sangat rajin dan bila tidak dapat datang ke kelas belajar agama, dia rasa sedih dan saya pula jadi malu kerana sering bagi alasan jika tidak dapat hadir.
"Saya bersyukur semakin ramai artis yang sudah berhijrah. Hijrah bukan sekadar menutup rambut tetapi jika seseorang itu belum bertudung tetapi dia melakukan sesuatu benda baik yang tidak dilakukan sebelum ini, hal itu juga boleh dikatakan berhijrah," ujarnya.


