suria

Zed Zaidi Dapat Tawaran Berlakon Selepas Jawatan Gugur

Zed Zaidi
Zed Zaidi
Zed Zaidi

PETALING JAYA: Bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi terkejut kerana mula mendapat pelbagai tawaran berlakon selepas jawatannya gugur berkaitan kes mahkamah.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, dia tidak sangka masih lagi ada pihak yang sudi memberinya peluang berlakon memandangkan sebelum ini dia sering menolak tawaran kerana ingin memberi fokus terhadap Seniman.

"Sebelum ini saya sanggup berkorban menolak pelbagai tawaran lakonan demi membangunkan Seniman, kerana risau andai kata saya gagal memberi komitmen pada kerja lakonan.

"Bagaimanapun tidak sangka pula ada beberapa pihak sudi menawarkan saya berlakon semula sejak jawatan saya dibatalkan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Bagaimanapun tambah Zed, buat masa ini, dia belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran kerana sibuk bersama beberapa rakan artis terlibat dalam misi bantuan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kuantan, Pahang.

Katanya, dia akan memikirkan tawaran lakonan yang diberi pada tahun depan selepas selesai isu banjir.

"Sekarang ini saya bersama beberapa rakan artis terlibat dengan kerja-kerja berkumpulan membantu mangsa-mangsa banjir tanpa melibatkan persatuan. Buat masa ini mereka memerlukan bantuan orang ramai. Biarlah masalah ini selesai dahulu.

"Kemudian saya dah banyak masa dah, dan jika ada yang ingin panggil saya untuk berlakon, boleh saja," selorohnya.

Pada 21 November lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, di sini, adalah terbatal dan tidak sah.

Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Seniman.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab).

Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.

Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang.

Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain