suria

Sisi Romantik Mokhtar Dahari Dalam Teater 'SuperMokh'

Menerusi teater SuperMokh Sebuah Muzikal sifat romantik Mokhtar terhadap isterinya dipaparkan kepada penonton.
Menerusi teater SuperMokh Sebuah Muzikal sifat romantik Mokhtar terhadap isterinya dipaparkan kepada penonton.
Menerusi teater SuperMokh Sebuah Muzikal sifat romantik Mokhtar terhadap isterinya dipaparkan kepada penonton.

KUALA LUMPUR: Apabila penerbit teater Hans Isaac akan membawa kisah hidup legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari ke pentas Istana Budaya, ramai yang tertanya-tanya bagaimana ia akan diterjemahkan dengan berkonsepkan muzikal.

Dipentaskan buat pertama kali pada malam Rabu di Panggung Sari, Istana Budaya, Hans dan pengarah bersama Harith Iskander nyata belum hilang taring apabila teater SuperMokh Sebuah Muzikal berjaya dihasilkan dalam suasana cukup menghiburkan.

Ia bukan sahaja sarat dengan fakta-fakta menarik mengenai diri Mokhtar tetapi konsep muzikal yang ditonjolkan cukup menyerlah seperti mana karya terdahulu mereka seperti Cuci-Cuci Muzikal dan Lat Kampung Boy.

Meskipun mengakui sebelum ini sukar menterjemahkan sifat dan peribadi Allahyarham namun pihak produksi bijak menyusun perjalanan cerita menerusi babak-babak dengan bantuan nyanyian dan tarian bagi menjadikan ia lebih menarik dan tidak membosankan.

Tirai persembahan dibuka dengan montaj tentang kejayaan Mokhtar lakonan Awie dan teater muzikal yang berkisar pada tahun 1979 itu dimulakan dengan babak selepas beliau berkahwin dengan isterinya, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim lakonan Maya Karin.

Menariknya mengenai babak permulaan tersebut ia memaparkan sisi romantik Mokhtar yang tidak diketahui oleh para peminatnya sebelum ini.

Malah sebuah lagu bertajuk Do You Remember? ciptaan Michael Veerapan pada babak tersebut cukup menyentuh perasaan apabila ia menceritakan mengenai kasih sayang di antara pasangan tersebut.

Vokal Maya Karin dan Awie cukup serasi dalam lagu berkenaan dan ia memberi emosi berbeza kepada babak tersebut selain keserasian mereka di atas pentas cukup meyakinkan.

Usaha Awie untuk menghidupkan watak Mokhtar juga harus diberi pujian walaupun dengan rujukan yang cukup terhad.

Selain Awie dan Maya, SuperMokh turut dibintangi oleh Rashidi Ishak, Dina Nazir, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.

Ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 6 hingga 18 November depan.

Mokhtar dilahirkan pada 13 November 1953 dan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 pada usia 38 tahun. Supermokh adalah gelaran yang digunakan untuknya.

Selain sifat romantis Mokhtar, teater muzikal ini juga turut memaparkan beberapa kisah yang tidak diketahui umum seperti Mokhtar hampir memutuskan pertunangannya dengan Zarina sehingga menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk berkahwin terus dengan wanita tersebut.

RASUAH

Malah kekecewaan Mokhtar terhadap dunia sukan bola sepak turut diperjelaskan apabila beliau pasrah apabila ada pihak yang ingin memberinya rasuah.

Satu perkara yang cukup mengagumkan tentang teater ini adalah mengenai persahabatan di antara Mokhtar dan rakan-rakannya seperti R. Arumugam, Soh Chin Aun dan Santokh Singh.

Ia mengingatkan kita bahawa perbezaan kaum dan warna kulit bukan halangan untuk kita bersatu padu dan bekerjasama atas nama persahabatan dan keharmonian di antara masyarakat menjadi antara paparan menarik teater ini.

Sementara itu, bagi mengelakkan penonton berasa bosan, Hans dan Harith mengambil pendekatan untuk memaparkan aksi Mokhtar di atas pentas menerusi tarian dan nyanyian yang cukup menarik.

Lagu-lagu yang dipersembahkan seperti SuperMokh, Korea Vs Malaysia, Masih Bererti dan 1986 Malaysia Cup Final cukup menghiburkan dan maksud yang cuba disampaikan mengena kepada penonton.

Dalam pada itu, watak Kenny lakonan Douglas Lim menjadi penyeri kepada teater muzikal ini yang menggambarkan kegilaan seorang rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak pada ketika itu.

Douglas berjaya mencuri perhatian penonton dengan gelagat yang bersahaja dan mewujudkan hilai tawa terutamanya ketika dia mendendangkan lagu berjudul Kalau Saya Ni Football Player.

SuperMokh Sebuah Muzikal berjaya mengangkat kisah hidup Mokhtar dengan cara cukup berbeza dan menghiburkan dan ia dapat memberi peluang kepada generasi muda mengenali figura terkenal itu dengan lebih mendalam.

Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sudah mula dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-4147 8600 atau 019-211 1600.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain