suria

'Destinasi Ria' Kongsi Pengalaman Artis Makan Angin

Kumpulan Sleeq
Kumpulan Sleeq
Kumpulan Sleeq

KUALA LUMPUR: Program travelog terbaharu terbitan Astro Ria iaitu Destinasi Ria Bersama AirAsia bakal memaparkan percutian selebriti tanah air ke pelbagai destinasi menarik.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, program 13 episod itu akan membawa penonton menyusuri pengalaman percutian menyeronokkan selebriti bersama rakan-rakan dan keluarga mereka.

"Setiap episod akan merangkumi koleksi percutian yang berunsurkan romantis, persahabatan, kembara, eksotik dan mewah.

"Tambah menarik setiap percutian itu akan dikendalikan sendiri oleh selebriti berkenaan untuk menjadikan ia lebih manis,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ben's Publika di sini, Rabu.

Destinasi Ria Bersama AirAsia bakal bersiaran pada setiap hari Rabu bermula 6 November ini pada pukul 10 malam di saluran Astro Ria (104).

Antara selebriti yang terlibat adalah Yus dan Tauke (Surabaya), Hazama dan Yazer (Jakarta), Sleeq (Sandakan), Shuib dan Sarah (Shenzen), Datuk Aznil Nawawi, Hefni dan Dahlia (Shanghai) dan Fikhree dan Nik Michael (Kolkata).

Manakala beberapa selebriti yang bercuti dengan keluarga adalah Lisa Surihani bersama ibu dan ibu mertua (Ho Chi Minh), Elfira Loy, Ezzara Loy dan Ezzrin Loy (Hong Kong), Adibah Nor, Dina Nazir dan Baki (Kunming).

Dalam pada itu, Raqim berkata, idea menerbitkan program itu bertitik tolak daripada sambutan hangat program Destinasi Cinta Bersama Air Asia yang ditayangkan pada tahun lalu.

Jelas Raqim, rancangan terbaharu ini adalah kesinambungan program asal dan tidak hanya tertumpu kepada pasangan suami isteri sahaja.

"Program ini boleh dikatakan sekuel kepada Destinasi Cinta tetapi ia diperluaskan dan tidak hanya menekankan kepada percutian pasangan suami isteri tetapi keluarga dan sahabat.

"Selain itu lebih banyak destinasi menarik dapat dipaparkan kepada penonton dan tidak tertumpu kepada destinasi romantik sahaja," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain