suria

Zo In Sung Tidak Sangka Ramai Peminat Di Malaysia

Zo In Sung terharu mendapat sambutan luar biasa daripada peminat daripada Malaysia. Foto Ihsan ROOTS ASIA PACIFIC.
Zo In Sung terharu mendapat sambutan luar biasa daripada peminat daripada Malaysia. Foto Ihsan ROOTS ASIA PACIFIC.
Zo In Sung terharu mendapat sambutan luar biasa daripada peminat daripada Malaysia. Foto Ihsan ROOTS ASIA PACIFIC.

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal daripada Korea Selatan, Zo In Sung tidak menyangka mempunyai ramai peminat di Malaysia selepas drama bersiri lakonannya berjudul That Winter, The Wind Blows mendapat sambutan hangat penonton.

In Sung, 33, berkata, dia tidak pernah terfikir akan dikenali oleh masyarakat selain daripada tempat asalnya namun bersyukur dengan sambutan yang diberikan.

"Semua ini sukar dipercayai kerana ia seperti berlaku sekelip mata. Saya bertuah dapat berlakon dalam drama berkenaan kerana ia telah membuatkan saya dikenali di peringkat Asia," jelasnya ketika ditemui di Hotel Hilton di sini, Selasa.

In Sung berada di Malaysia bagi mempromosikan drama bersiri berkenaan yang turut menampilkan Song Hye Kyo.

That Winter, The Wind Blows bakal diulang tayang selepas mendapat permintaan ramai di saluran One HD (Astro 393) bermula 1 Jun depan setiap Sabtu dan Ahad pukul 3.15 petang.

Dalam pada itu, In Sung berkata, dia tidak berhasrat untuk melebarkan sayapnya ke peringkat lebih tinggi kerana selesa berlakon di Korea.

Jelas In Sung, masalah bahasa juga turut menyumbang kepada keputusannya itu namun tidak dapat meramalkan perancangan masa hadapan.

"Bahasa menjadi penghalang jika saya mahu ke Hollywood dan sebagainya dan lebih selesa berlakon di Korea sahaja," katanya.

Sementara itu, In Sung berkata, kemunculan semulanya dalam bidang lakonan selepas hampir lima tahun kerana menyertai khidmat negara nyata berbaloi.

Jelasnya, sepanjang tempoh itu juga dia banyak mempelajari tentang dirinya dan menjadi lebih matang sebagai pelakon.

"Menyertai khidmat negara banyak mengubah peribadi dan mematangkan saya bukan sahaja sebagai seorang lelaki tetapi juga pelakon.

"Saya juga bersyukur kerana peminat sentiasa berada bersama saya dan kerana mereka juga saya berada di sini," katanya.

Memulakan karier seawal usia 18 tahun, selain That Winter, The Wind Blows, In Song pernah muncul dalam drama bersiri seperti Memories in Bali, Piano, Drama City dan School 3.

Selain itu dia juga pernah muncul dalam beberapa buah filem iaitu A Frozen Flower, A Dirty Carnival, The Classic dan Madeleine.

Artikel Lain