suria

Aiman Hakim Rakam Lagu Untuk Filem 'Vanila Coklat'

Aiman mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebagai seorang penyanyi. - Foto SHAARI CHE MAT.
Aiman mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebagai seorang penyanyi. - Foto SHAARI CHE MAT.
Aiman mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebagai seorang penyanyi. - Foto SHAARI CHE MAT.

KUALA LUMPUR: Pelakon drama bersiri Vanila Coklat, Aiman Hakim Ridza muncul dengan single pertamanya bersama penyanyi Ernie Zakri berjudul Khalimah Cinta.

Aiman berkata, lagu berkenaan turut dijadikan sebagai lagu runut bunyi bagi drama bersiri berkenaan yang diangkat menjadi filem lakonannya bersama Izara Aishah.

"Ini adalah lagu pertama saya sejak memasuki program Mentor musim ke lima tahun lalu dan saya sungguh teruja untuk melihat reaksi pendengar terhadap lagu ini.

"Tambahan pula ia dijadikan sebagai lagu tema untuk filem Vanila Coklat lakonan saya, ia bertambah manis," ujarnya.

Aiman ditemui pada majlis minum petang bersama media anjuran syarikat rakaman FMC di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun kata Aiman, lagu tersebut mampu berdiri sendiri jika tidak dimasukkan dalam filem berkenaan kerana kualitinya yang bagus dan boleh diterima peminat.

Bercakap lanjut mengenai lagu tersebut, Aiman berkata, peluang yang diberikan oleh syarikat rakaman FMC adalah satu kesempatan baik untuknya mengembangkan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi.

Aiman bagaimanapun berkata, dia tidak mahu melihat penghasilan lagu tersebut sebagai bonus buat dirinya yang popular sebagai pelakon untuk diterima baik sebagai penyanyi.

"Saya belum cukup bagus untuk tampil sebagai penyanyi secara serius dan penghasilan lagu duet ini adalah sebagai satu cubaan baik pihak FMC yang percayakan bakat nyanyian saya.

"Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki sebelum benar-benar diterima peminat dalam kedua-dua bidang itu," ujarnya.

Bagaimanapun Aiman memberitahu, dia cukup seronok dapat merakamkan lagu tersebut bersama Ernie dan berharap ia akan diterima baik oleh peminat dan pendengar.

"Saya sangat sukakan melodi dan lirik yang dibuat oleh Buddhi Hekayat dan Manusia Putih.

Selain itu bekerjasama dengan Ernie sangat seronok dan tidak mempunyai sebarang masalah," ujarnya.

Artikel Lain