suria

Hans Isaac Janji 'Cuci 3' Lebih Komedi

Hans janji komedi Cuci The Musical 3 Last Kopek (Cuci 3) akan lebih spontan dan bersahaja. - Foto oleh SAMUEL ONG
Hans janji komedi Cuci The Musical 3 Last Kopek (Cuci 3) akan lebih spontan dan bersahaja. - Foto oleh SAMUEL ONG
Hans janji komedi Cuci The Musical 3 Last Kopek (Cuci 3) akan lebih spontan dan bersahaja. - Foto oleh SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Penerbit teater Cuci The Musical 3 Last Kopek (Cuci 3), Hans Isaac berkata pementasan musim terakhir teater itu bakal menjanjikan dialog dan komedi yang lebih spontan.

Menurut Hans, pendekatan tersebut diambil berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap penonton yang dilihat lebih menggemari jenaka bersahaja dan spontan pada setiap pementasan pada dua musim yang lalu.

"Respons daripada penonton yang mengikuti pementasan ini pada dua musim lalu sangat menggemari jenaka dan dialog komedi secara spontan.

"Untuk itu, pada pementasan musim terakhir ini, ia akan berlangsung dengan lebih santai dan berkemungkinan jenis jenaka juga akan berubah-ubah pada setiap persembahan nanti," katanya.

Hans ditemui pada pelancaran muzikal tersebut di Istana Budaya, di sini, petang Khamis.

Selain empat teraju utama Afdlin Shauki, Awie, Hans Isaac dan Nabil, Cuci 3 masih lagi membariskan Vanidah Imran dan Reefa.

Ia turut memperkenalkan Douglas Lim yang menggantikan Harith untuk watak Wira, Dina Nadzir (Farah) dan Harun Salim Bachik (Tan Sri).

Mengulas mengenai pemilihan penyanyi Dina Nadzir dan pelawak Harun Salim Bachik dalam Cuci 3 ini, Hans berkata mereka menjadi pilihan kerana kredibiliti masing-masing dalam lakonan.

"Saya tertarik dengan potensi lakonan Dina selepas menontonnya dalam muzikal Dreamgirls pada tahun lalu.

"Harun pula sememangnya pelawak yang sudah lama saya minati. Saya yakin dia boleh menggalas watak Tan Sri itu dengan baik kerana pengalamannya," katanya.

Diterbitkan Tall Order Productions dan masih diarahkan Harith Iskander, Cuci 3 akan dipentaskan bermula 2 hingga 18 Mac depan di Istana Budaya.

Ia akan dipentaskan sebanyak 22 pertunjukan termasuk persembahan siang dan malam pada setiap Sabtu dan Ahad.

Tiket-tiket yang berharga RM53, RM123, RM163, RM183, RM203 dan RM303 kini mula dijual menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain