suria

Amir Jahari Artis Pertama Aizat Amdan

Aizat Amdan.
Aizat Amdan.
Aizat Amdan.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aizat Amdan memperluaskan kerjaya seninya apabila memilih bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-9, Amir Jahari untuk bernaung di bawah syarikat pengurusannya iaitu Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE).

Aizat berkata, pemilihan Amir dibuat adalah disebabkan kebolehan penyanyi berusia 20 tahun itu mencipta lagu dan menulis lirik sendiri selain bakat nyanyiannya yang menyerlah.

"Saya yakin dia mampu pergi jauh kerana bakat dan semangat ditunjukkan begitu menarik perhatian saya tambahan pula kebolehannya menulis dan mencipta lagu," ujarnya pada majlis memperkenalkan Amir dan pelancaran album Urusan Aizat Amdan VCD Karaoke di sini Selasa lalu.

Aizat berkata, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu juga turut mengingatkan dia kepada dirinya suatu ketika dahulu yang mahu mencari tapak dalam industri.

Ujarnya, beberapa persamaan antara mereka turut menarik minat penyanyi lagu Sungai Lui itu untuk mengambilnya sebagai artis di bawah label KGE.

"Masa mula-mula saya tengok Amir, dia terus mengingatkan saya kepada diri saya pada satu ketika dahulu yang ingin mencari tapak sebagai seorang penyanyi.

"Perkara itu juga membuatkan hati saya terdetik untuk mengambilnya sebagai artis naungan dan membantunya menjadi seorang penyanyi yang berkaliber," katanya.

Dalam pada itu, Aizat berkata, selain menerbitkan album untuk penyanyi tersebut, KGE juga mempunyai agenda lain untuknya.

Ujarnya, kebolehan Amir menulis lirik dan mencipta lagu akan digunakan sebaik mungkin dalam mencipta lagu untuk artis lain.

"Sehingga kini sudah beberapa artis bersetuju untuk menggunakan lagu ciptaannya dalam album terbaru mereka seperti Afdlin Shauki dan Adibah Noor," katanya.

Sementara itu, Amir ketika ditemui berkata, walaupun pernah mendapat tawaran daripada syarikat rakaman lain tetapi dia mengambil keputusan untuk bersama KGE kerana berasa selesa dengan pihak pengurusan syarikat itu.

Amir berkata, dia juga bersyukur dapat bernaung di bawah label tersebut kerana Aizat memberikannya peluang untuk berkarya tanpa sekatan selain persefahaman antara mereka.

"Kalau di tempat lain mungkin saya tidak dapat seperti mana saya dapat di sini tambahan pula saya artis baru.

"Aizat juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam menjadi seorang penyanyi dan komposer yang baik," ujarnya.

Pada majlis sama, Aizat turut melancarkan album karaoke berjudul “Urusan Aizat Amdan VCD Karaoke” khas buat peminat yang mahu menyanyikan lagu-lagunya.

Album tersebut mengandungi 10 buah lagu seperti Susun Silang Kata, Sungai Lui dan beberapa tajuk daripada album terdahulu seperti Hanya Kau Yang Mampu, Kau Aku dan Lagu Kita.

"Album VCD Karaoke ini dilancarkan berdasarkan kepada permintaan peminat yang sering bertanya kepada saya mengenainya. Saya berharap peminat akan suka seleksi lagu dalam VCD ini selain dapat menyanyi di rumah," ujarnya.

Tambahnya setakat ini album tersebut boleh didapati secara dalam talian di www.aizatamdan.com atau mana-mana lokasi penyanyi itu membuat persembahan. Ia dijual dengan harga RM15.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain