suria

Watak Jahat Opie Zami Jadi Perhatian

Opie Zami (dua dari kanan) di samping para pelakon utama Se-Merah Padi iaitu Khir Rahman, Jue Aziz dan Fauzi Nawawi. - Foto SHAARI CHE MAT
Opie Zami (dua dari kanan) di samping para pelakon utama Se-Merah Padi iaitu Khir Rahman, Jue Aziz dan Fauzi Nawawi. - Foto SHAARI CHE MAT
Opie Zami (dua dari kanan) di samping para pelakon utama Se-Merah Padi iaitu Khir Rahman, Jue Aziz dan Fauzi Nawawi. - Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini pelakon Opie Zami sering muncul dengan watak komedi, sisi jahatnya pula ditonjolkan menerusi teater Se-Merah Padi yang sudah pun memulakan pementasannya sejak Sabtu lalu di Istana Budaya.

Watak Opie sebagai Borek berjaya menjadi perhatian lebih-lebih lagi dia berjaya mengolahkan karakter tersebut dengan gayanya yang tersendiri.

Kata Opie, dia gembira kerana dapat membawakan watak yang sudah lama diidam-idamkannya dan kajian watak juga dibuat bagi menampakkan sisi jahat berbeza berbanding lakonan-lakonan yang sedia ada.

"Borek telah mencabar tahap kemampuan saya dan inilah masa yang paling sesuai untuk saya lakonkan watak itu menerusi Se-Merah Padi.

"Lebih menguji tahap lakonan saya apabila terpaksa menjiwai babak memukul dan merogol wanita.

"Justeru itu, saya jiwai watak tersebut dengan membaca akhbar-akhbar yang memaparkan kes-kes rogol. Alhamdulillah, lakonan saya tidak melebih-lebih dan pelakon-pelakon lain memberi kerjasama yang baik," katanya.

Teater yang diadaptasi daripada karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee mengisahkan tentang keteguhan seorang penghulu, Tok Merah (Datuk Baharuddin Omar), dalam menegakkan undang-undang Islam, adab dan budaya di sebuah kampung kecil bernama Se-Merah Padi.

Tok Merah sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam bersama dua pendekarnya, Aduka (Khir Rahman) dan Taruna (Fauzi Nawawi) yang bersahabat baik.

Dara (Jue Aziz), satu-satunya anak gadis Tok Merah telah ditunangkan atas persetujuan bersama. Namun tanpa diketahui semua, Dara diam-diam mencintai Aduka.

Beberapa hari selepas majlis pertunangan, Se-Merah Padi diserang lanun yang diketuai Borek kerana dendamnya terhadap Tok Merah yang telah menjatuhkan hukuman sula terhadap kakandanya, Jejaka, yang melakukan hubungan zina dengan Mukah.

Pementasan ini cukup bagus daripada segi alatan pentas (props) dan pemilihan pelakonnya.

Menarik untuk ditonton, cuma jalan penceritaannya agak panjang membuatkan penonton berasa keletihan untuk menunggu plot seterusnya.

Lakonan Khir Rahman turut menarik perhatian penonton lebih-lebih lagi ketika pelakon itu melaungkan azan di samping nyanyiannya yang merdu.

Menurut pengarahnya, Rosdeen Suboh, dia gembira, walaupun terdapat sedikit masalah daripada segi props yang tidak mencukupi, teater tersebut masih lagi dijalankan dengan jayanya.

"Alhamdulillah, sepanjang tiga hari pementasan, respons yang diberikan penonton amat baik.

"Saya berharap Panggung Sari akan kekal penuh sehingga di penghujung pementasannya pada 31 Disember ini," ujarnya

Tiket untuk teater di bawah naungan Sultan Pahang ini boleh didapati di www.ticket2u.biz.

Artikel Sebelum

Ungku Ismail Sudah Jadi Pengarah

Artikel Berikut

Artikel Lain