suria

Syafinaz Bicara Tentang Diri dan Minat

TEGAS dan garang. Gambaran skeptikal ini sering diberikan kepada penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat.

Jika ada yang masih berpendapat sebegitu, buang jauh-jauh persepsi tersebut kerana karakter pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini ternyata berbeza.

Benar, Syafinaz memiliki rupa paras yang garang, namun penyanyi ini agak peramah orangnya dan sentiasa tersenyum setiap kali berbicara.

Pertemuan OopStarz! dengan penyanyi yang popular dengan lagu Ingin Bersamamu ini di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di ibu negara melahirkan perasaan teruja untuk berkongsi cerita.

“Entahlah, memang dari dulu orang kata saya garang. Mungkin kerana paras rupa saya membuatkan orang berfikiran begitu,” selorohnya membuka bicara.

Kata Syafinaz, dia seorang yang santai dan jarang sekali bersifat tegas melainkan ia berkaitan dengan kerja.

Malah, katanya, dia mampu berkelakuan seperti kanak-kanak apabila bergaul dengan golongan kecil itu.

“Saya boleh berperangai kebudak-budakan apabila bergaul dengan kanak-kanak dan matang bila bergaul dengan orang dewasa mengikut tempat dan dengan siapa saya bergaul.

“Cuma, garang saya bertempat. Sebagai pensyarah, saya perlu bertegas dan akan mengamuk kalau kerja yang saya berikan tidak siap.

“Begitu juga dengan kerja-kerja saya yang lain seperti ketika menyanyi atau dipertanggungjawabkan untuk menjadi juri, saya perlu tegas dan bersifat terus terang.

“Lebih-lebih lagi apabila memberi komen kepada peserta pertandingan menyanyi misalnya, saya perlu cakap apa kesilapan yang dilakukan kerana merekalah yang akan berada dalam industri muzik kita nanti,” katanya yang turut mengakui dia seorang yang mementingkan kesempurnaan.

Mengenali Syafinaz, masanya sentiasa diisi dengan jadual kerja yang padat sehingga tiada masa untuk merehatkan diri sendiri.

Akui dengan kesibukan itu, penyanyi ini menganggap, kerja-kerja hariannya sudah sebati dalam diri lebih-lebih lagi ia membabitkan bidang yang paling disayanginya.

“Hidup saya sentiasa diisi dengan muzik. Tak tahulah kalau tiada muzik, bagaimana perlu mengisi jadual harian saya.

“Tapi semua itu satu kepuasan. Kalau nak bercakap minat saya selain muzik, mungkin belajar bahasa baru menjadi pilihan. Lagipun sekarang ini saya sedang belajar bahasa Mandarin,” katanya.

Sungguhpun sibuk dengan kerjaya, penyanyi ini akan sentiasa memastikan kesihatan dan kecantikan diri dititikberatkan.

“Waktu kerja sangat padat namun saya tetap harus tampil menarik. Oleh itu, saya gunakan produk kecantikan yang bersesuaian agar kulit tidak senang terdedah,” ujarnya.

Selain itu, antara perkara lain yang diminatinya ialah bercuti di luar negara dengan berkunjung ke taman tema seperti Universal Studios, Warner Bros Movie World dan Disney Land.

“Memang menjadi perkara wajib untuk saya berkunjung ke taman tema apabila pergi ke mana-mana negara.

“Saya sanggup menghabiskan masa seharian untuk bermain permainan yang merbahaya seperti roller coaster atau solero shots contohnya.

“Lebih seronok lagi, bila orang menjerit ketakutan, saya pula senyap walaupun dalam keadaan takut. Nanti hilang suara pula,” ujarnya tertawa.

Sementara itu, Syafinaz kini sibuk dengan penganjuran konsert No Wrong Notes yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 November ini bersama 55 orang ahli koir yang terdiri daripada kumpulan Koir remaja Kebangsaan, dan Koir Kebangsaan.

Konsert yang dianjurkan oleh JKKN itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPK) dan Kementerian Pelancongan Malaysia.

Konsert yang menghimpunkan elemen Jazz, Latin dan Raggae itu dipimpin oleh Mohd Amri Mohd Zin selaku konduktor sementara Tunku Marina Tunku Zubir sebagai Pengarah Koir.

Bagi yang berminat menyaksikan konsert berkenaan, tiket kemasukan hanya RM10. Konsert ini akan berlangsung di Auditorium DBKL.

10 Soalan untuk Syafinaz Pernah buat kesilapan semasa menyanyi, tetapi penonton tak sedar? Buat silap tu biasalah, mesti ada, tapi yang penting mesti pandai cover.

Jika pendandan rambut tersalah gunting rambut, Syafinaz akan..? Saya akan gunting rambut pendandan itu balik. Hahaha!

Gajet paling disayangi? MacBook Air!

Dalam beg tangan Syafinaz wajib ada apa? Duit dan tuner (gajet yang saya gunakan untuk mendapat pitch/nada yang tepat, apabila tiada alat muzik)

Cita-cita masa kecil? Doktor.

Hadiah paling bermakna? Barang kemas pemberian ibu. Filem Melayu paling digemari? Ibu Mertuaku. Rambut hitam atau perang? Rambut Hitam.

Ular atau singa? Singa!

Dalam kereta Syafinaz mesti ada..? Air mineral dan payung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain