suria

'Arwah Wasiatkan 'Sesuatu' Sebelum Meninggal Dunia' - Fizo

Fizo Omar
Fizo Omar
Fizo Omar

PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar memberitahu, arwah bapanya, Wan Omar Wan Ishak,71, yang meninggal dunia, Selasa mengamanahkan “sesuatu” agar dia menyimpan barang tersebut sehingga ke akhir hayat.

Fizo yang dihubungi mStar Online, Selasa berkata, ketika dia pulang ke kampungnya di Selising, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira dua minggu lalu, ayahnya telah memberikan wasiat berkenaan yang seolah-olah menggambarkan dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya terkejut apabila dia berkata macam itu kepada saya. Dia minta saya menyimpan barang itu elok-elok. Pada waktu itu dia sihat tetapi saya sudah rasa lain macam,” kata Fizo yang enggan menjelaskan apakah amanah berkenaan.

Ayahnya yang berniaga kecil-kecilan di kampung meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan akibat ketumbuhan pada usus.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Melor, Kota Baharu selepas solat Isyak hari yang sama.

Menurut Fizo, ketika mendapat berita itu dia berada di Kuala Lumpur dan sememangnya sedang bersiap untuk pulang ke kampung kerana mahu mengotakan janji membawa ayahnya mendapatkan rawatan pakar.

Tapi hasrat tersebut tidak terlaksana kerana bapanya meninggal dunia pada hari yang dijanjikan itu.

“Saya sepatutnya balik ke kampung hari ini (Selasa) untuk membawa dia berjumpa doktor. Tapi saya terkejut apabila kakak saya di kampung memberitahu ayah sudah tiada,” ujarnya.

Sehubungan itu menurut Fizo dia terpaksa mengambil cuti selama seminggu untuk menguruskan beberapa perkara.

Artikel Lain