suria

Wangi Keluar Dari The Fabulous Cats?

Dari kiri: Cat, Wangi, Zizi dan Adeep
Dari kiri: Cat, Wangi, Zizi dan Adeep
Dari kiri: Cat, Wangi, Zizi dan Adeep

KUALA LUMPUR: Salah seorang ahli kumpulan The Fabulous Cats (TFC), Wangi atau nama sebenarnya, Wangi Julianda, berkemungkinan besar akan meninggalkan kumpulan tersebut untuk bergerak secara solo.

Menurut ketua kumpulan itu, Cat Farish, Wangi mempunyai dua pilihan sama ada meneruskan dengan projek solonya sendiri atau kekal bersama TFC selepas menamatkan pengajiannya di sebuah universiti di Bandung pada hujung bulan Jun depan.

"Sebenarnya TFC dah tamat kontrak dengan label Alibi Music pada awal Januari lalu. Tetapi kami akan masih di bawah label tersebut kerana sudah merakamkan beberapa lagu dan ia akan dipromosikan.

"Memandangkan Wangi pula kini sedang belajar, kami meneruskan promosi serta persembahan pentas tanpanya sehinggalah dia habis belajar.

"Kemudian, pada Jun nanti, baru kami akan tahu sama ada dia (Wangi) mahu meneruskan kerjasama dengan TFC ataupun tidak. TFC pula tidak akan menyambung kontrak selepas lagu-lagu tersebut dikeluarkan," katanya.

Tambah Cat Farish, dia tidak mempunyai masalah jika Wangi enggan menyertai TFC kerana menganggap kumpulan tersebut sebagai satu platform untuk memudahkan seseorang penyanyi itu mendapat tempat dalam industri muzik tempatan.

"Memang setakat ini saya nampak dia lebih ke arah untuk bergerak solo, tapi saya tak berani nak cakap apa-apa. Semuanya terpulang kepadanya.

"Kami pun tak kisah kerana lagu-lagu solo wangi akan dihasilkan oleh TFC juga," ujarnya.

Sementara itu, Cat bakal muncul dengan drama terbarunya, Zoo, yang akan ditayangkan bermula 13 Mac ini, pukul 11.30 pagi menerusi saluran Astro Ceria (611).

Dalam drama tersebut Cat membawa watak 'Cat' yang merupakan seorang penjaga Zoo yang berkeupayaan bercakap dengan haiwan.

Turut berlakon dalam Zoo ialah, Lisa Surihani (Sheila), Mia Sara (Shasha), Afiq Izzuddin (Syamin) dan Hazirah Qasdina (Emylia).

Artikel Sebelum

Artikel Lain