suria

Kehebatan Peserta Raja Lawak Semakin Menyerlah

Peserta Raja Lawak Musim ke 5
Peserta Raja Lawak Musim ke 5
Peserta Raja Lawak Musim ke 5

HULU KELANG: Hampir semua peserta Raja Lawak musim kelima (RL5) menunjukkan prestasi yang baik pada minggu keenam ketika siaran langsung Gelanggang Raja Lawak Astro 5 berlangsung di Studio Finas, di sini, Jumaat lalu.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, berpuas hati dengan memuji persembahan kebanyakan peserta RL5 pada minggu bertemakan ‘spontan’ itu.

Malah dia juga tidak menafikan kebolehan kumpulan Pukaw yang tersingkir pada minggu lalu selepas mendapat markah terendah iaitu 8 peratus.

“Walaupun mereka menerima tugasan ini dua jam sebelum persembahan bermula, namun saya lihat hampir semuanya dapat melakukannya dengan baik sekali.

“Saya sudah memberitahu mereka selepas ini tugasan yang diberikan akan menjadi lebih susah dan akan ada penyingkiran setiap minggu sebelum memasuki peringkat akhir.

“Kini tinggal lima minggu lagi Gelanggang Raja Lawak Astro 5 akan berlangsung,” kata Nizam.

Nizam turut mengulas tentang sambutan penonton yang tidak pernah putus untuk menyaksikan rancangan itu.

“Setiap minggu kira-kira 300 penonton memenuhi studio ini untuk menonton Gelanggang Raja Lawak secara langsung. Malah rating penonton di Astro Prima (saluran 105) juga meningkat 28 peratus berbanding musim lalu.

“Undian penonton melalui kiriman pesanan ringkas (SMS) juga meningkat berbanding minggu keenam musim lalu.

“Jika diikutkan memang agak sukar untuk meraih banyak undian penonton pada awal program tetapi bermula minggu kedua penonton semakin ramai memilih peserta kegemaran masing-masing,” jelasnya lagi.

Gelanggang Raja Lawak Astro 5 yang dihoskan oleh Johan dan Zizan disiarkan secara langsung di Astro Prima pada setiap Jumaat, pukul 9 malam.

Sementara Kapsul Raja Lawak disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam.

Artikel Lain