suria

'Back To Me', Dari Fantasia Barrino

KETEPIKAN kes cubaan bunuh diri yang dilalui oleh bekas pemenang tempat ketiga American Idol 2004, Fantasia Barrino sebaliknya dengarkan segala luahan yang telah ‘dikumpulkan’ dalam album terbarunya, Back To Me.

Album ini mempunyai 12 lagu seperti I’m Doin Me, Bittersweet, Man Of The House, Who’s Been Lovin’ You, Collard Greens & Cornbread, Teach Me, Move On Me, Trust him, The Thrill Is Gone (bergandingan dengan Cee-Lo Green), Falling In love Tonight, Even Angels dan I’m Here.

Mendengar bait-bait lirik setiap lagu yang dinyanyikan, Barrino yang memiliki suara serak-serak basah menyampaikan lagu-lagunya dengan penuh ekspresi dan emosi. Penulis percaya, sesiapa sahaja yang mendengar lagu-lagunya pasti akan tersentuh dengan lirik yang diluahkan penyanyi itu.

Kata Barrino yang pernah mendapat carta Billboard Hot 100 menerusi lagu I Believe, album Back To Me adalah khas buat peminat-peminatnya yang sudah tiga tahun menantikan kemunculannya dengan album baru.

Selain itu, pelakon dan pelawak, Steve Harvey membantunya menghasilkan album mengikut kisah-kisah yang pernah dilalui oleh penyanyi kelahiran North Carolina itu.

“Steve Harvey yang mencadangkan tajuk album Back To me itu. Ia sesuai dengan pengalaman kehidupan saya yang penuh dengan pancaroba. Album ini menceritakan tentang kisah diri saya yang sebenar.

“Mungkin saya boleh letakkan Back To Me sebagai diari saya buat peminat. Saya tahu ramai yang menantikan dengan kemunculan saya. Jadi saya hadiahkan suara dan kisah hidup yang saya lalui dalam album ini.

“Saya tidak kisah jika seluruh dunia mengetahui rahsia saya bila mendengarkan album ini,” katanya.

Mungkin lagu seperti Move On Me, The Thrill Is Gone bergandingan dengan Cee-Lo GreenTeach Me dan Trust Him seperti muzik biasa yang pernah didengar, tetapi olahan muzik soul yang diterbitkan oleh Ne-Yo, Claude Kelly, Chuck Harmony dan Jim Jonsin menguatkan setiap lagu tersebut yang dihasilkan tanpa menampakkan persamaan dengan lagu-lagu soul yang telah ada di luar sana.

Dalam album ini, wanita ini bijak bermain suara dengan pengaruh muzik soul dan R&B yang dimilikinya.

Sekali sekala, mainan suara penyanyi berusia 26 tahun itu persis penyanyi Aretha Franklin dan album ini menunjukkan kehebatan skil Fantasia dalam muzik soul.

Berdasarkan tiga album yang telah dihasilkan, album Back To Me adalah album terbaik daripadanya berbanding dua album sebelumnya, Free Yourself (2004) dan Fantasia (2006)

Artikel Sebelum

Syafie Naswip Bosan Watak Klise

Artikel Berikut

Artikel Lain