suria

Muzikal Tun Mahathir: Pengurusan Dakwa Zizan Nin Dieksploitasi

Zizan Nin
Zizan Nin
Zizan Nin

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Aquila Emas Sdn Bhd, Syarizan Isa mengaku meminta bayaran RM40,000 untuk aktor Zizan Nin menyertai teater Muzikal Tun Mahathir MTM) musim kedua yang akan dipentaskan di Istana Budaya dari 21 hingga 30 Januari akan datang.

Katanya, alasan dia meminta bayaran setinggi itu kerana mahu menolak tawaran itu atas beberapa sebab.

"Saya sengaja meminta RM40,000 sebagai alasan untuk mengelak Zizan Nin berlakon teater itu. Saya tahu jumlah RM40,000 itu banyak dan tentu sekali penerbitnya tidak mampu membayar.

"Tindakan itu disebabkan pihak penerbit langsung tidak berbincang dan bertolak-ansur tentang bayaran yang harus diberikan kepada pelakon.

Semua perbincangan hanyalah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk menetapkan bayaran sebanyak RM12 ribu untuk Zizan.

"Bayaran tersebut kurang dari bayaran teater Tun Mahathir yang pertama iaitu RM15 ribu," katanya ketika sidang media tergempar di pejabat Aquila Emas di Bandar Tun Razak, di sini, Jumaat.

Sebab kedua pula katanya apabila adalah pihak produksi teater muzikal itu mengeksploitasi Zizan dengan menjual poster, cekera padat lagu dan buku autograf teater yang pertama tanpa memberikan apa-apa royalti kepada pelakon itu.

"Jadi apabila bayaran kali kedua kurang daripada teater pertama, saya menganggap seolah-olah pelakon kami tidak dihargai.

"Sebagai orang berniaga, saya rasa bayaran itu memang tidak berbaloi kerana setiap artis kami ada bayaran minimumnya,” katanya.

Biarpun terkejut dengan reaksi penerbit teater itu, Siti Rohayah Attan kerana menghebahkan perkara yang sepatutnya dirahsiakan itu kepada pihak media, namun dalam masa yang sama Syarizan hanya tersenyum kerana Zizan yang menjadi topik utama berbanding teater tersebut.

Dalam pada itu, Zizan yang turut menghadiri sidang media tersebut hanya akur dengan keputusan pihak pengurusannya.

"Saya tak kisah dan tak kecewa dengan keputusan ini serta bersikap profesional kerana hal ini antara pihak pengurusan dan pihak produksi. Kalau boleh, saya memang nak bayaran lebih," kata Zizan yang memegang watak Tun Dr. Mahathir Mohamad pada usia muda dalam teater itu sebelum ini.

Selain Zizan, pelakon Erra Fazira yang memegang watak Tun Dr. Siti Hasmah juga tidak dapat menyertai pementasan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain