suria

'RM30,000 Bukan Duit Ayah' - Dafi

PETALING JAYA: Penyanyi Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 22, menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya dia menggunakan wang bapanya sebanyak RM30,000 bagi membuka syarikat pengurusan artis dan acara, Laugh Out Loud Entertainment.

Dafi yang juga anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, wang tersebut adalah hasil simpanannya sejak bergelar artis.

“Saya tahu ramai yang menyangka saya membuka syarikat menggunakan wang bapa saya tetapi sebenarnya tidak. Duit itu adalah hasil titik peluh saya yang saya kumpulkan sekian lama sejak bergelar artis,” katanya yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan untuk syarikat itu.

Katanya, jika wang itu hasil pemberian ayahnya, tentu sekali jumlahnya melebihi daripada jumlah itu.

Ujar Dafi, bapanya sendiri tidak tahu perancangan membuka syarikat itu sehinggalah apabila segala urusan syarikat tersebut siap.

“Memang saya ingin berdikari dan barulah kita boleh tahu erti susah dan senang cari duit. Dulu pun selepas tamat SPM (Sijil Penilaian Malaysia), saya bekerja sebagai jurujual di sebuah butik terkenal.

"Sebenarnya bapa saya tak tahu pun yang saya nak buka syarikat, sampailah bila semua siap, baru saya memberitahunya," katanya yang membuka syarikat tersebut bersama rakan kongsinya.

Menurut Dafi, syarikat berkenaan bertanggungjawab menguruskan kerjaya seninya selain bertindak sebagai syarikat pengurusan acara.

Justeru itu, untuk permulaan, Dafi akan menganjurkan majlis hari jadinya yang ke-22 bertemakan 'Masquerade' pada 14 Disember ini yang akan diadakan di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur.

"Selain menganjurkan majlis, saya kini sedang menyiapkan sebuah album kedua yang berkonsepkan muzik pop. Bagi lagu pertama, ia masih dalam proses pembikinan di mana ia dihasilkan oleh Omar K dan Zell.

"Saya juga sedang mempelajari menulis lirik daripada orang yang berpengalaman. Saya harap perjalanan perniagaan saya ini berjalan dengan baik," ujar Dafi.

Artikel Berikut

Artikel Lain