suria

'...Dalam Botol' Ditayang 10 Februari 2011

PETALING JAYA: Selepas beberapa kali ditangguhkan, penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 50, (gambar) akhirnya mengesahkan filem kontroversi ...Dalam Botol yang sudah selesai menjalani proses pasca-produksi bakal ditayangkan pada 10 Februari 2011 empat hari sebelum Hari Kekasih (Valentine's Day).

Menurut Raja Azmi, bukanlah niatnya untuk mengagung-agungkan atau berbangga dengan hari tersebut, sebaliknya tarikh itu hanyalah kebetulan yang dikeluarkan oleh Skim Wajib Tayang (SWT).

"Secara kebetulan saja, tarikh tayangan yang diberikan oleh SWT hampir dengan tarikh Hari Kekasih. Bukan saya hendak berbangga atau mengagung-agungkan sambutan hari tersebut yang jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

"Cuma, sebagai penerbit saya melihat keadaan itu sebagai satu strategi promosi yang baik bagi menguar-uarkan filem saya kepada khalayak," katanya yang menghubungi mStar Online, Selasa.

Selepas perancangan awalnya untuk menayangkan filem itu kepada umum pada Julai dan September lalu tidak kesampaian, dia akhirnya boleh menarik nafas lega dan cukup teruja menantikan tarikh tayangan filem itu kelak.

Tambah Raja Azmi, keterujaannya menantikan filem itu ditayangkan adalah kerana niat dan matlamatnya untuk memberi kesedaran kepada golongan homoseksual.

"Memang saya galakkan orang ramai terutamanya golongan homoseksual untuk menonton filem ini supaya mereka akan dapat mesej dan pengajaran yang cuba saya sampaikan.

"Semoga filem ini dapat memberi kesedaran kepada golongan terbabit untuk balik ke pangkal jalan. Itu saja niat saya," katanya.

Pada minggu lalu, akhbar dalam talian The New York Times turut melaporkan kontroversi filem itu yang berjaya melepasi Lembaga Penapisan Filem (LPF) di sebalik isu homoseksual yang dipaparkan.

Filem arahan Khir Rahman itu dibintangi oleh Arja Lee, Wan Raja, Diana Danielle, Normah Damanhuri, Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid dan ramai lagi dan diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain