suria

Empat Bintang AF8 Bernasib Baik Dilamar KRU Studios

Nad (kiri), Alif, Daus dan Shah (depan) gembira dengan lamaran KRU Studios. - Foto oleh RAYMOND OOI
Nad (kiri), Alif, Daus dan Shah (depan) gembira dengan lamaran KRU Studios. - Foto oleh RAYMOND OOI
Nad (kiri), Alif, Daus dan Shah (depan) gembira dengan lamaran KRU Studios. - Foto oleh RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Empat orang bintang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) yang tidak mendapat kontrak sebagai artis rakaman daripada Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) bernasib baik kerana dilamar oleh KRU Studios pada 1 Julai lalu.

Mereka adalah Muhd Shahril Firdaus Eli (Daus), 22, Muhammed Shahril Mohd Saleh Hussein (Shah), 26, Nadia Emilia Roselan (Nad), 22, dan Muhammad Alif Kadim (Alif), 19.

Keempat-empat artis ini bersyukur kerana bakat mereka diterima oleh syarikat gergasi itu.

Selepas bersama syarikat rakaman tersebut, mereka akan mengikut perancangan kerjaya seni yang telah diatur oleh KRU Studios termasuk soal merakamkan album dan juga terlibat dalam dunia lakonan.

Bagi Daus, dia akan menumpukan kepada nyanyian dan penciptaan lagu memandangkan bakatnya lebih terarah kepada bidang tersebut.

“Saya mempunyai beberapa buah lagu yang sudah dicipta seperti Akhir Waktu dan selepas ini akan berbincang dengan Cikgu Norman sama ada boleh digunakan untuk “single” terbaru saya selepas ini.

“Sekarang ini, saya sedang dalam perancangan untuk bergerak di bawah naungan KRU Studios. Insya-Allah, “single” terbaru saya akan muncul pada hujung bulan November ini.

“Material sudah ada cuma menunggu masa untuk proses rakaman. Lagu tersebut agak rancak dan menarik seperti lagu Kenapa yang dihasilkan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim. Saya akan ketengahkan lagu yang kelakar seperti pelawak Charlie Chaplin,” katanya kepada mStar Online dalam satu pertemuan bual di Menara Star, di sini.

Dalam pada itu, Shah mahu mencuba bidang nyanyian dan lakonan dengan jaminan yang diberikan oleh tiga beradik KRU iaitu Norman, Yusry dan Edry.

“Saya tak akan mensia-siakan bakat yang ada dan akan buktikan yang kami juga boleh berjaya. Apa yang saya dapat tahu memang Norman memilih kami untuk menyertai syarikatnya sejak awal lagi,” katanya yang meminati irama R&B, pop , rock dan lagu-lagu seperti Adam Lambert.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga sedang sibuk dengan perniagaan keluarganya dalam bidang katering.

Sementara Nad pula lebih mengutamakan bidang nyanyian walaupun turut meminati dunia lakonan. Mungkin juga dia akan mencuba untuk aktif dalam sebagai pengacara suatu hari nanti.

Apa-apa pun, dia akan menghabiskan pengajiannya dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Melaka.

Alif yang sedang mengikuti pengajian vokal dan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut menyimpan cita-cita untuk bergelar pensyarah pada masa akan datang.

Walaupun begitu, dia mahu menggapai impiannya dalam industri seni ini dan telah mencuba bakat sebagai pelakon dalam drama bersiri Kau dan Aku musim kedua dengan memegang watak sebagai lelaki romeo bernama Emran.

“Saya akui lakonan dalam Kau dan Aku 2 sangat mencabar kerana saya bukanlah seorang kaki perempuan. Lakonan saya sangat kaku dan mungkin boleh diperbaiki pada masa akan datang.

“Saya masih muda dalam industri ini dan akan sedaya upaya mencari pengalaman. Bagaimanapun, saya rasa sangat seronok apabila dapat berlakon dengan pelakon senior seperti Tony Eusoff dan Sabrina Ali,” ceritanya.

Artikel Sebelum

Yalal Chin Selamat Dikebumikan

Artikel Berikut

Artikel Lain