suria

For Your Entertainment semarakkan kunjungan Adam Lambert

DEBARAN kian terasa dan kurang dua minggu sahaja lagi naib juara American Idol (AI) musim kelapan, Adam Lambert bakal menggegar Stadium Putra Bukit Jalil menerusi konsert Glam Nation Tour Live in Malaysia tanggal 14 Oktober depan.

Jika di awal tahun 2010, kita telah dihiburkan dengan kunjungan penyandang juara AI iaitu Kris Allen, kini tibalah giliran Lambert pula untuk memukau peminat di Malaysia menerusi lontaran vokal seksi dan aksi bertenaganya.

Walaupun baru setahun jagung, populariti yang memalit penyanyi kelahiran Indianapolis, Indiana, Amerika Syarikat ini tidak perlu disangkal dan berjaya mencetus fonemena luar biasa.

Ini terbukti apabila Lambert bukan sahaja menawan peminatnya menerusi gaya persembahannya di pentas, malah penjualan album pertama For Your Entertainment melonjak ke tangga kedua di dalam Billboard 200 pada Disember 2009 sejurus dipasarkan.

Bagi menyemarakkan lagi kehangatan konsert Glam Nation Tour Live in Malaysia, Sony Music turut sama ingin meraikan kunjungan Lambert dengan menampilkan sebuah album khas, For Your Entertainment - Edition Tour.

Album yang mengandungi 14 lagu termasuklah For Your Entertainment, Whataya Want From Me, If I Had You dan Time For Miracles ini turut memuatkan empat lagu bonus dan bonus DVD seperti klip persembahan Stripped, persembahan secara langsung di AOL dan video di sebalik tabir If I Had You.

Jika anda peminat tegar, maka jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan album istimewa ini sekarang. Dengan setiap pembelian album, anda akan berpeluang untuk menikmati diskaun tiket konsert sebanyak 10 peratus.

Lebih menarik lagi, anda juga berpeluang mendapat 10 peratus diskaun untuk album menerusi pembelian tiket konsert. Album Tour Edition kini berada di pasaran bermula 21 September lalu.

Tiket-tiket yang berharga dari RM103, RM153, RM203 dan RM253 untuk tempat duduk bernombor, RM193 untuk Rock Zone (berdiri bebas) dan RM298 untuk The Pitt (berdiri bebas). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ticketpro di talian 03-7880 7999 atau layari ticketpro.com.my. Konsert sulung Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia dibawakan khas oleh Marctensia dan Sony Music.

Artikel Berikut

Artikel Lain