suria

Aizat Tak Sabar Nak Belajar Di UK

Aizat mahu berkongsi ilmu teknologi muzik dengan penggiat-penggiat seni tempatan
Aizat mahu berkongsi ilmu teknologi muzik dengan penggiat-penggiat seni tempatan
Aizat mahu berkongsi ilmu teknologi muzik dengan penggiat-penggiat seni tempatan

PETALING JAYA: Selepas dua minggu berada di United Kingdom (UK) untuk melihat beberapa universiti yang ada di sana, penyanyi Aizat Amdan tidak sabar untuk melanjutkan pelajarannya dalam jurusan muzik teknologi pada tahun depan.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sungai Lui itu, dia berkemungkinan besar akan berangkat ke UK pada September tahun depan dan menjadi pelajar di sana selama dua tahun.

"Tetapi setakat ini saya belum memilih mana-mana universiti lagi. Cuma pengambilan pelajar baru dibuat setiap tahun pada bulan September dan saya target akan ke sana tahun depan.

"Melihat cara kerja di UK, mereka bersistematik. Saya berharap sangat untuk mempelajari teknologi muzik di sana dan membawa ilmu itu ke Malaysia untuk dikongsi bersama penggiat-penggiat muzik yang lain. Tambah pula ia pasti dapat memajukan industri muzik kita.

"Selain itu, orang Malaysia juga ramai yang tinggal di sana dan saya pasti dapat menyesuaikan diri dengan mudah.

"Cuma cuaca di sana agak pelik. Ada masanya panas dan tiba-tiba pula hujan," seloroh Aizat pada majlis rumah terbuka Kasi Gegar Entertainment dan Erama Records di Finas, Hulu Kelang, Sabtu.

Tambah Aizat, dia sudah bersiap sedia untuk berdikari dengan caranya tersendiri seperti menyanyi gig bersama teman-temannya di sana nanti.

"Mereka di sana mempunyai bakat seni yang hebat. Jadi bila kita menubuhkan sebuah kumpulan untuk pergi ke mana-mana konsert gig, kami dapat berkongsi bakat bersama.

"Saya mahu redah saja di sana. Mungkin saya akan bawa album lagu di sana, nak lihat sejauh mana penerimaan mereka dengan lagu-lagu saya," ujarnya.

Sementara itu, Aizat bersyukur dengan informasi yang diterimanya mengenai penjualan album yang dikatakan agak memberangsangkan.

Katanya, dia sedang merancang untuk mmbuat konsert jelajah di seluruh Malaysia termasuklah negara Brunei.

"Rasanya, perancangan saya mengeluarkan album sebulan sebelum Hari Raya telah berjaya kerana kebanyakan remaja yang memiliki duit raya akan membeli album saya dan saya menghargai pembelian mereka itu.

"Tapi saya tak tahu sejauh mana penjualannya. Bagaimanapun saya akan membuat showcase khas khusus buat para peminat pada 4 dan 5 Disember ini.

"Bagi konsert jelajah pula, ia akan bermula pada November ini," katanya yang sedang menhasilkan lagu tema bagi filem Nur Kasih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain