suria

Rezeki Nabil di Shanghai

PENYANYI Nabil Zamanhuri telah berjaya mengharumkan nama negara dalam pertandingan The 11th Pan Asia Music Festival apabila memenangi 2 anugerah, Naib Juara Lagu Terbaik, Dari Jauh hasil ciptaan Lah Ahmad dan Nabil Zamanhuri (kategori lagu) dan anugerah Penyanyi Harapan Asia 2010.

Acara yang berlangsung di Beijing, China pada 28 April hingga 7 Mei 2010 ini menyaksikan Nabil bersaing bersama 30 peserta dari Sri Langka, Romania, Thailand, Finland, Malta, Khazaktan, Bulgaria, China, Canada, Australia dan lain-lain.

Walaupun gagal memenangi sebarang tempat bagi kategori vokal, namun kejayaan Nabil Zamanhuri benar-benar memberi semangat buatnya.

Bagi Nabil sendiri beliau amat bersyukur walaupun tidak menjadi juara, namun terpilih ke peringkat akhir Top 10 adalah sesuatu yang membanggakan.

Menurutnya, kejayaan ini membuktikan bahawa muzik Malaysia mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Saya berasa terharu apabila turut mendapat anugerah Penyanyi Asia Harapan.

"Namun, yang paling saya bangga adalah lagu ciptaan saya dan Lah Ahmad mendapat tempat ke-2 dalam kategori Lagu Asal Terbaik," katanya.

Nabil telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke 'The 11th Pan Asia Music Festival 2010' yang dulunya dikenali sebagai 'Asia New Singer Competition of Shanghai Asia Music Festival'.

Sebelum ini, Malaysia telah banyak menempa kejayaan pada pertandingan ini menerusi kejayaan Datuk Siti Nurhaliza, Deja Moss, Misha Omar, Jaclyn Victor, Ezlynn dan Shila OIAM.

Pemilihan Nabil diputuskan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia yang telah dilantik oleh Shanghai Asia Music Festival Committee untuk memilih bakat baru bagi mewakili Malaysia ke pertandingan ini.

Artikel Lain