suria

Natasha Tidak 'Melatah' Jadi Janda Kali Kedua

BILA aktres jelita membuat pengakuan dirinya sudah pun bercerai dengan suaminya, Datuk Shahrin Zahari, ada yang terkejut dan tidak kurang juga yang merasakan itu adalah 'lumrah' di dalam rumahtangga selebriti.

Namun, cerita tentang Natasha Hudson ini sebenarnya menambat hati penulis. Sejak perkahwinan pertamanya lagi dengan Faiz Mohd Raih pada tahun 2006, tidak dinafikan nama Natasha cukup 'hangat' berbanding perjalanan seninya.

Perkahwinan yang hanya mampu bertahan selama empat bulan itu membuatkan banyak pihak meletakkan pelbagai spekulasi. Namun, ketika itu Natasha meletakkan prinsip untuk tidak berbicara lanjut tentang perceraian mereka.

Beberapa bulan selepas penceraian tersebut, aktres dan model berusia 27 tahun ini bertemu jodoh pula dengan Shahrin yang merupakan seorang ahli perniagaan. Di sebalik kisah 'cinta' baru Natasha ini, terselit juga kisah yang kurang enak.

Semuanya gara-gara 'kekecohan' yang berlaku apabila ada wartawan tidak dibenarkan masuk membuat liputan majlis perkahwinan mereka pada Ogos 2007 di Carcosa Seri Negara.

Majlis yang berlangsung serentak dengan Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) yang juga menobatkan Natasha sebagai Pelakon Harapan Wanita menerusi filem Chermin itu, dikatakan adalah majlis khas yang dihadiri oleh keluarga terdekat saja.

Disebabkan kejadian itu, ramai pihak media yang berkecil hati dengan pelakon itu yang seolah-olah meminggirkan media yang hanya bertujuan untuk membuat liputan tentang majlis tersebut.

Perkara tersebut tidak berakhir di situ saja. Penampilan sulung Natasha di sebuah acara anjuran Rafflesia tidak lama selepas majlis perkahwinannya itu pasti akan sentiasa lekat di fikirannya sampai bila-bila.

Masakan tidak, Natasha dianggap seperti 'boneka' di sidang media yang turut dihadiri oleh aktres Vanida Imran itu. Pihak media yang berada di situ hanya mengajukan pertanyaan kepada Vanida dan membiarkan Natasha 'mendiamkan diri' di sebelah aktres tersebut.

Penulis yang berada di majlis tersebut dapat melihat reaksi Natasha yang terpaku apabila melihat semua media beredar pergi setelah hampir setengah jam menemubual Vanidah tanpa mengajukan satu pun soalan kepada Natasha.

Bukannya bersifat kejam, namun tujuan pihak media berbuat demikian adalah untuk menunjukkan bahawa di dalam industri ini, jalinan yang baik antara artis dan media amat diperlukan.

Namun, isu boikot itu tidak berlarutan kerana tidak lama selepas itu, cerita tentang Natasha kembali memenuhi dada-dada akhbar dan juga majalah. Pelakon itu juga sudah berkali-kali membuat kenyataan maaf tentang tindakannya itu.

Berbalik kepada kisah perkahwinan Natasha dan Shahrin, perjalanan rumahtangga mereka semakin berseri dengan kehadiran cahaya mata mereka, Nessa Helena Shahrin yang kini berusia 20 bulan.

Selama kira-kira dua tahun, rumahtangganya tidak diganggu dengan pelbagai kisah negatif. Namun, khabar angin tentang kegoyahan rumahtangga mereka mula bertiup baru-baru ini.

Malah, ketika Natasha hadir di sambutan ulangtahun SuriaFM minggu lalu sebelum pengakuan tentang penceraiannya, mukanya kelihatan pucat lesi dan tidak bermaya. Sama ada sedang 'tertekan' atau pun kurang sihat, tidak pula penulis dapat pastikan.

Enggan membiarkan pelbagai spekulasi singgah dalam dirinya, Natasha akhirnya membuat pengakuan tentang perpisahannya dengan Shahrin di sebuah akhbar kelmarin yang sekaligus merupakan penceraian kedua yang dialami oleh dirinya.

Entah 'badi' apa yang terkena pada bintang ini yang asyik mengalami kegagalan dalam rumahtangganya. Tetapi jika sudah tertulis jodoh tidak berpanjangan, mahu atau tidak, perlu juga diharungi dengan hati yang tabah.

Menurut Natasya, mereka berpisah sejak sebulan yang lalu namun kedua-duanya masih berkawan baik dan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak perempuan mereka.

Tidak pasti pula apa punca keretakan rumahtangganya kali ini. Namun, difahamkan, Natasha akan mengadakan satu pertemuan dengan pihak media dalam masa terdekat ini untuk menjelaskan tentang penceraiannya.

Mungkin untuk melenyapkan pelbagai tanda-tanya dan mengambil 'iktibar' daripada pengalaman lalu, Natasha kali ini sudi pula bersemuka dengan pihak media.

Namun, satu perkara yang penulis kagumi dengan wanita ini adalah sifatnya yang tidak cepat melatah apabila berdepan dengan kontroversi seperti ini. Walaupun kisah penceraiannya sentiasa menjadi bualan hangat, Natasha menghadapinya dengan cukup tenang.

Malah, ketika berdepan dengan isu boikot dulu, Natasha tidak pula 'mengamuk' dengan tindakan media dan membiarkan perkara itu berlalu pergi begitu saja. Cuma apa yang pasti, Natasha perlu kuat untuk kembali memegang gelaran 'janda' dan kali ini, sebagai ibu tunggal juga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain