suria

Shahid warisi kemerduan suara Asri Rabbani

Shahid ingin meneruskan perjuangan Ustaz Asri bersama Rabbani, namun bimbang untuk menyuarakan hasrat hatinya itu. - foto mStar Online
Shahid ingin meneruskan perjuangan Ustaz Asri bersama Rabbani, namun bimbang untuk menyuarakan hasrat hatinya itu. - foto mStar Online
Shahid ingin meneruskan perjuangan Ustaz Asri bersama Rabbani, namun bimbang untuk menyuarakan hasrat hatinya itu. - foto mStar Online

MUNGKIN umum lebih mengenali Rabbani yang merupakan kumpulan nasyid popular sehingga kini, tetapi umum mungkin kurang mengenali anak muda yang bernama Abdul Shahid Mohd Zamiluddin ini.

Senang disapa dengan panggilan Shahid, anak muda berusia 25 tahun ini sebenarnya merupakan anak didik atau protege kepada arwah Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang telah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 14 Ogos lalu.

Biarpun gayanya tidak seperti Ustaz Asri, tetapi vokal serta aura mentornya itu dapat dirasai melalui nyanyiannya ketika mendengar Shahid menyanyi bersama kumpulan Rabbani pada majlis berbuka puasa di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Kemerduan serta lenggok nyanyiannya tidak ubah seperti Asri yang merupakan penyanyi utama kumpulan Rabbani.

Menurut Shahid, dia mengenali mentornya itu ketika sekolahnya menjemput Rabbani mengadakan konsert serta pernah menyertai kem motivasi bersama Ustaz Asri.

"Saya mula mengenali Ustaz Asri ketika Rabbani dijemput untuk mengadakan konsert di sekolah Maahad Tahfiz Al-Futhail, Kelang.

"Ketika itu saya baru berumur 17 tahun dan menghadiri satu sesi ujibakat bersama Rabbani ketika itu, semenjak itu saya sering dipanggil untuk menyanyi bersama Rabbani hingga kini.

"Sejak itu juga saya mula rapat dengan Ustaz Asri dan belajar vokal dengan dia. Dia mengajar saya semua teknik nyanyian yang betul kepada saya dan saya memang betul-betul nak belajar kerana memang meminati Ustaz Asri," kata Shahid yang menggangap mentornya itu sebagai abangnya sendiri.

Shahid turut berkongsi kenangannya bersama Asri ketika menyertai kem motivasi dan dapat berborak serta makan bersama-sama.

"Kenangan kami bersama banyak, ketika saya sertai kem motivasi bersama Ustaz Asri, saya begitu gembira apabila dapat berborak-borak dengannya malah kami juga makan bersama pada ketika itu.

"Selain tu, bila setiap kali Rabbani ada buat persembahan, saya akan pergi dan mesti Ustaz Asri akan panggil saya naik ke pentas untuk nyanyi sekali.

"Ustaz Asri juga pernah telefon saya dan dia minta saya buat persembahan pada satu majlis sambutan ulangtahun Rabbani yang ke-10 pada waktu itu.

"Dia juga pernah beritahu saya, dalam ramai-ramai orang yang dia jumpa, saya adalah antara orang yang boleh membawakan lagu-lagu Rabbani dengan baik dan sehingga kini jika ada persembahan, saya akan sentiasa nyanyikan lagu-lagu Rabbani.

"Malah Ustaz Asri sangat menghargai orang yang boleh bantu dia dalam meneruskan perjuangan dakwah dan nasyid," ujar Shahid yang masih terasa dengan pemergian mentornya itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain