suria

Tuah Didicazli, anak didik M. Nasir

Keunikan Didicazli dalam menggubah lagu berjaya memikat hati M. Nasir. -foto The Star oleh RAJA FAISAL
Keunikan Didicazli dalam menggubah lagu berjaya memikat hati M. Nasir. -foto The Star oleh RAJA FAISAL
Keunikan Didicazli dalam menggubah lagu berjaya memikat hati M. Nasir. -foto The Star oleh RAJA FAISAL

KOMPOSER dan penyanyi terkenal M. Nasir pernah berkata dia memang cukup menyenangi mana-mana penyanyi yang berkebolehan mencipta lagu, jadi tidak hairanlah jika beliau memilih pendatang baru dari negara kelahirannya, Singapura iaitu Didicazli Cindy Ismail.

Apa yang terkesan oleh M. Nasir mengenai keunikan yang dimiliki oleh Didicazli ini adalah suaranya sangat romantik di mana dia boleh meluahkan perasaan dalam lagu melalui penciptaan lagunya lalu menganggap ia merupakan satu bonus buat anak kepada bekas penyanyi nasyid dari kumpulan Al-Jawaher, Siti Rosminah Jaafar.

Apabila ditanya kepada Didicazli, sudah tentu dia meluahkan rasa bersyukur dan bertuah apabila mendapat bimbingan M. Nasir serta bernaung di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd. selepas menandatangani kontrak pada 2007.

Katanya: “Itupun berkat doa daripada ibu saya.

“Namun apabila mula bekerja dengannya, tiba-tiba saya diserbu rasa segan seolah-olah saya sangat ‘kecil’ berada di sampingnya.

“Dari situ, saya mula datang ke syarikat rakaman Luncai Emas dan berulang-alik dari Singapura ke Malaysia.

“Waktu saya di sini banyak dihabiskan di studio di Luncai Emas sehingga tidur pun di situ juga.

“Kadangkala, kawan-kawan lain seperti anggota kumpulan Spider pun turut serta bersama saya dan semalam mereka merakam lagu di situ."

Namun, bukan mudah untuk penyanyi berusia 26 tahun ini memikat hati M. Nasir kerana beliau mahu Didicazli menyesuaikan diri dalam dunia seni dengan merasai kesusahan sebagai penyanyi terlebih dahulu.

“Pada mulanya saya bukan terus dapat dibimbing oleh M. Nasir. Selama mula-mula berjumpa dengan M. Nasir, dia menasihati saya supaya merasai kesusahan.

“Sebabnya, sebagai seniman kita perlu merasai kesusahan sebab bukan mudah untuk 'survive' di dalam industri ini.

“Nanti, kita akan dihargai kerana kejayaan dan bukan dikaitkan dengan populariti.

“Jadi, saya lebih suka mengumpul duit untuk membayar duit studio daripada membeli baju.

“Apabila saya kata hendak mencari ‘sponsor’, dia tak pernah menghalang saya.

“Misalnya, kalau pergi mesyuarat, selepas itu susah hendak mencari orang yang mahu ‘sponsor’.

“Dia nak saya usaha sendiri dan belajar. Apabila saya tersungkur, baru dia ajar saya.

“Perjalanan hidup saya memang susah tetapi makin lama saya mendapat kesenangan," kata Didicazli.

Sepanjang bergelar artis kira-kira dua tahun lalu, antara pengalaman paling berharga yang dilaluinya adalah apabila orang kuat Sony Music Sony Music Entertainment (M) Sdn. Bhd. dan yang disegani iaitu M. Nasir datang pada majlis pradengar albumnya, Diari Cinta, Didicazli.

"Saya paling terkejut ramai yang menghadiri majlis pradengar album saya yang belum dikeluarkan di pasaran itu pada 19 November lalu.

"Yang membuatkan saya gembira apabila M. Nasir datang untuk majlis pra-dengar di pejabat Sony Music, Ampang.

“Memang jarang dibuat orang. Jadi, saya memang terharu sangat dengan apa yang dilakukan,” ujarnya.

Didicazli berkata dia gemarkan konsep album berentak balada dan akan mempelajari genre ini sehingga betul-betul mengenalinya sebelum melompat ke genre lain.

“Biar belajar satu genre dulu baru saya akan belajar yang lain. Setakat ini saya hanya menumpukan kepada genre pop balada, dan indie balada. Pelajaran ibarat satu chapter buku.

“Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan mencuba genre yang boleh membuat orang gembira seperti R&B, hip hop dan yang menyamai muzik Jason Mraz,” kata pemuda yang mempunyai Diploma dalam Komunikasi Massa dari Management Development Institute of Singapore (MDIS) dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Singapura.

Selain mempelajari muzik, Didicazli juga bercita-cita untuk bergelar seorang pelajar yang mempunyai sijil.

Jadi, tidak hairanlah jika dia yang bertugas sebagai Eksekutif Projek di Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) ini akan menyambung pelajaran dalam bidang Ijazah Komunikasi Massa dan seterusnya ke peringkat sarjana.

Compass mempunyai fungsi yang sama seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP).

Walaupun mempunyai komitmen dengan Compass selama tiga hari dalam seminggu, dia tetap meluangkan masa untuk menyanyi dan menggubah lagu.

Bayangkan, dalam masa sehari, Didicazli tidak boleh berjauhan dari studio kerana dirinya sentiasa ingin menggubah lagu.

“Insya-Allah, saya sedang membuat lagu baru untuk single seterusnya,” katanya.

M. Nasir sumbang 20 peratus dalam modal album

Album Diari Cinta, Didicazli memakan masa setahun untuk dihasilkan.

Sebanyak 11 buah lagu dimuatkan di dalam album ini seperti Rela Setia yang telah diputarkan di radio tempatan, Seribu Kenangan, Jasa Ibuku dan Dambaan.

Diikutkan, jumlah modal yang digunakan mencecah RM40,000. Namun, atas jasa baik M. Nasir, dia telah menanggung 20 peratus kos album tersebut dan selebihnya ditanggung oleh Didigazli sendiri.

Album yang diterbitkan oleh Luncai Emas ini mula diedarkan dalam pasaran tempatan oleh Sony Music pada 27 Disember lalu.

“Setakat ini, Alhamdulillah, album ini mula mendapat tempat di kalangan orang Malaysia.

“Jika sebelum ini, mereka mengenali lagu-lagu saya menerusi internet tetapi kali ini mereka sudah boleh mendapatkannya di pasaran,” luah Didicazli. Menyentuh tentang kelebihan album ini, kira-kira 80 peratus lagu yang dihasilkan adalah ciptaan dirinya sendiri.

Kata Didicazli, dia mencipta lagu mengikut hati dan yang menarik, tiga buah lagu yang dimuatkan di dalam album tersebut menyentuh tentang cerita cintanya dengan seorang gadis.

"Saya menggubah lagu-lagu itu untuk luahkan cinta saya pada gadis idaman saya.

"Tetapi, akhirnya cinta kami tidak kesampaian apabila dia tidak dapat memahami karier saya.

"Kerana muzik, saya sanggup korbankan cinta. Sekarang, muzik adalah cinta saya," luah Didicazli yang dengan rendah diri mengaku masih solo dan belum berpunya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aditya: Kecelaruan hala tuju!

Artikel Lain