suria

Tak dapat buat konsert jelajah... BTS hadiahkan Army konsert virtual ‘Bang Bang Con 2021’

BTS kembali menghiburkan peminat dengan siri konsert Bang Bang Con 2021.

SELEPAS lebih seminggu tampil dengan single terbaharu berjudul Film Out, kumpulan popular Kpop, BTS mengumumkan mereka bakal mengadakan konsert virtual, Bang Bang Con 2021.

Konsert yang akan berlangsung pada Sabtu ini, pukul 3 petang (2 petang waktu Malaysia) akan disiarkan secara langsung di saluran Youtube BangtanTV.

BTS turut berkongsi setlist lagu yang akan dipersembahkan mereka menerusi konsert itu nanti terbahagi kepada dua segmen.

Sebelum ini, kumpulan itu pernah mengadakan dua konsert Bang Bang Con yang kedua-duanya mendapat sambutan hangat daripada peminat setia mereka, Army.

Konsert pertama dilakukan pada April tahun lalu bertujuan memberikan keceriaan buat peminat mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Manakala, konsert kedua yang disiarkan pada Jun tahun lalu dikenakan bayaran dan keuntungannya dilaporkan mencecah lebih AS$20 juta (RM82 juta).

Septet yang dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook itu ditubuhkan pada Jun 2013.

Mereka menjadi fenomena global selepas kemunculan single Inggeris pertama, Dynamite yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu. - Forbes

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain