suria

Britney Spears minat kongsi kisah hidupnya secara eksklusif dalam temu bual Oprah Winfrey

Britney Spears pertimbang untuk buat pendedahan eksklusif kisah hidupnya.

SELEPAS kejayaan dokumentari, Framing Britney Spears yang memaparkan liku-liku kehidupan Britney Spears sepanjang bergelar anak seni, penyanyi itu kini dikatakan berminat untuk ditemu bual oleh hos popular, Oprah Winfrey.

Menurut sumber terdekat dengan penyanyi Baby One More Time itu, Britney, 40, berminat untuk muncul dalam program bersama Oprah kerana merasakan tiada individu lain yang lebih layak untuk menceritakan kisah hidupnya berbanding dia sendiri.

"Britney sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan segala hal yang melibatkan masa lampaunya lebih-lebih lagi sepanjang terlibat dalam bidang seni.

"Dia sebelum ini tidak suka ditemubual namun jika dia terbuka hati untuk perkara itu, Oprah merupakan hos pertama pilihannya.

"Buat masa ini, memang tiada rancangan untuk program temubual itu diadakan namun jika ia berjaya ditunaikan nanti, ada beberapa langkah yang perlu diberi pertimbangan oleh Britney sebelum dia mendedahkan semua perkara kepada umum," kata sumber tersebut.

Sepanjang kerjaya seninya sejak lebih dua dekad lalu, Britney melalui pelbagai kontroversi apabila kehidupan serta hal kewangan dikawal oleh bapanya, Jamie Spears sepanjang dia bergelar bintang popular.

Selain itu, Britney juga sering menjadi mangsa 'buli' pihak media yang gemar memberikan imej negatif terhadap dirinya ketika popularitinya memuncak.

Malah, dia juga pernah dimalukan oleh bekas teman lelaki, penyanyi Justin Timberlake yang mendedahkan dia sudah kehilangan dara ketika mereka masih berhubungan.

Ini kerana, Britney sebelum ini pernah berikrar ingin menjaga kesucian dirinya sehingga selepas berkahwin.

Susulan penayangan dokumentari tersebut, ramai peminat berasa simpati dengan kehidupan Britney yang turut pernah membuatkan dia berada dalam episod kemurungan sebelum ini.

Antara selebriti yang memberikan sokongan terhadap Britney sebaik menonton dokumentari tersebut ialah Miley Cyrus, Kim Kardashian dan John Mayer. - ETonline

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain