suria

BTS tak gelabah kalah di Grammy Award 2021, bangga dapat buat persembahan solo

Walaupun tewas, BTS tetap mencipta sejarah sebagai artis pertama Kpop berjaya tercalon dalam Anugerah Grammy.

BIARPUN ramai peminat BTS melahirkan kekecewaan mereka di atas kekalahan kumpulan itu Anugerah Grammy, namun artis dari Korea itu tetap sentiasa berfikiran positif.

Sebaik acara itu berakhir pada pagi Isnin, kesemua tujuh ahli kumpulan BTS muncul dalam platform VLive untuk berkomunikasi dengan peminat setia mereka yang digelar Army.

ARTIKEL BERKAITAN: BTS gagal bawa balik trofi Grammy Award 2021, Megan Thee Stallion menang besar

Walaupun kecundang, BTS menyatakan mereka sangat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk mengadakan persembahan secara solo di pentas muzik berprestij dunia itu.

"Kami tengok banyak laporan media mengatakan kami gagal dalam memenangi trofi, tapi kami tidak melihat itu sebagai satu kekalahan kerana kami dapat membuat persembahan sebagai salah satu calon yang bertanding.

"Kami melihat perkara ini daripada sudut positif yang mana kami tercalon dan mengadakan persembahan secara solo buat kali pertama," kata RM mewakili rakan-rakannya.

BTS muncul dalam VLive untuk berinteraksi dengan peminat mereka sebaik Anugerah Grammy berakhir.

BTS tewas kepada Lady Gaga dan Ariana Grande menerusi lagu Rain On Me dalam kategori Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik.

BTS tercalon dalam kategori itu menerusi single Inggeris pertama mereka, Dynamite.

Septet yang dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook itu mencipta sejarah apabila bergelar artis Kpop pertama tercalon dalam Anugerah Grammy.

Dalam Anugerah Grammy tahun lalu, BTS pernah tampil membuat persembahan bersama penyanyi Lil Nas X menerusi lagu Old Town Road.

Sebaik Anugerah Grammy habis bersiaran, kekalahan BTS menjadi trending di laman Twitter apabila Army mendakwa Grammy hanya mempergunakan kumpulan itu untuk mendapatkan rating serta views yang tinggi daripada penonton memandangkan BTS mempunyai ramai peminat dari seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat. - Allkpop

Artikel Lain