Emosi terganggu sejak kecil, El Rumi akui bukan mudah jadi anak Ahmad Dhani

El Rumi menjalani kehidupan sukar sejak kecil kerana populariti ibu dan bapanya.

ANAK kepada pemuzik Ahmad Dhani iaitu El Rumi mendedahkan dia menjalani kehidupan sukar sejak kecil kerana kisah keluarganya sering mendapat perhatian ramai.

Menurut laporan Hot Detik, El Rumi atau nama sebenar Ahmad El Jallaludin Rumi, 21, mengakui bukan mudah menjadi anak Ahmad Dhani kerana dia berdepan pelbagai komen masyarakat.

"Kadang-kadang orang memuji, ada masa terima hinaan... jadi anak Ahmad Dhani itu bukan mudah kerana ayah ada banyak kontroversi. Jadi yang minat ramai, yang membenci pun ramai.

"Saya berdepan banyak situasi serba salah... contohnya kalau lebihkan masa dengan bonda Maia Estianty, peminat ayah akan pertikaikan tindakan saya manakala peminat bonda pula memuji.

"Apabila bersama ayah, saya berdepan situasi sebaliknya pula. Berada di tengah-tengah kelompok peminat memperlihatkan sisi berbeza," katanya.

El Rumi berkongsi mengenai kehidupannya itu semasa ditemubual Sule dalam rakaman video yang dimuat naik di laman YouTube.

Sementara itu, El Rumi turut mendedahkan emosinya terganggu apabila mengetahui bapa dan ibunya bercerai pada tahun 2008.

"Awalnya bingung dan tak tahu apa-apa kerana mereka bercerai semasa kami masih kecil.

"Memang banyak cerita mengenai ayah, bonda dan mak cik Mulan Jameela... emosi kami agak terganggu! Namun kami diberi kebebasan dan ayah menanganinya dengan begitu baik," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ahmad Dhani, El Rumi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain