suria

Bintang Disney Cameron Boyce meninggal pada usia 20 tahun akibat serangan sawan

Cameron Boyce meninggal dunia pada usia 20 tahun. Foto ABC News

PELAKON Cameron Boyce yang terkenal menerusi filem terbitan Disney berjudul Descendants disahkan meninggal dunia pada Sabtu.

Menurut ABC News, berita kematian remaja berusia 20 tahun itu disahkan oleh keluarganya.

Dalam laporan tersebut menyatakan punca kematian adalah disebabkan oleh masalah kesihatan.

"Dengan penuh dukacita, dimaklumkan bahawa Cameron telah meninggal dunia pada pagi ini.

"Dia meninggal dunia dalam tidurnya akibat serangan sawan yang disebabkan oleh masalah kesihatan, yang mana dia telah menerima rawatan perubatan untuk menanganinya," kata wakil keluarga.

Berita tersebut mengejutkan ramai peminat seluruh dunia sehingga ia menjadi trending di laman Twitter.

Rata-ratanya meluahkan kesedihan dengan perkhabaran tersebut dan berasakan industri hiburan kehilangan seorang anak seni berbakat besar.

"Terlalu muda dan berbakat besar untuk pergi. Semoga dia tenang di sana.

"Bakal merindui wajahnya dan masih tak percaya Cameron sudah tiada. Terlalu awal untuk dia pergi," tulis netizen.

Sebelum ini, Cameron dilihat banyak meluangkan masa mengikuti program amal yang dianjurkan komuniti setempat.

Dia pernah menerima penghormatan di Pioneering Spirit Award di Thirst Gala pada tahun lepas atas usahanya mengumpul dana sebanyak AS$30,000 (RM124,077) untuk membina telaga yang menyalurkan air bersih di Swaziland.

Bintang itu yang berasal dari Los Angeles, memulakan langkah sebagai pelakon dalam filem seram Mirrors ketika berusia 9 tahun.

Selain itu, dia juga memainkan watak penting dalam Grown Ups dan Jessie.

Namanya mula mendapat perhatian peminat pada tahun 2015 dan 2017 menerusi siri filem Descendants.

SUMBER: ABC News

Cameron Boyce

Artikel Lain