suria

Filem ‘Green Book’ bikin kejutan, tewaskan ‘Roma’ untuk menang Filem Terbaik Anugerah Akademi ke-91

(Dari kiri) Jim Burke, Charles B. Wessler, Nick Vallelonga, Peter Farrelly, dan Brian Currie bergambar selepas membawa pulang trofi Filem Terbaik menerusi Green Book.

TERNYATA kejutan demi kejutan berlaku dalam majlis penganugerahan Anugerah Akademi ke-91 apabila filem Green Book menerima pengiktirafan sebagai Filem Terbaik dalam acara yang berlangsung di Teater Dolby, di sini, malam Ahad (waktu tempatan).

Keputusan itu dianggap mengejutkan kerana dari awal musim anugerah bermula, filem arahan Alfonso Cuaron, Roma sudah disebut-sebut untuk memenangi Filem Terbaik sementelah ia turut dicalonkan dalam sembilan kategori lain tahun ini.

Tambahan pula, filem berkenaan turut terpalit dengan kontroversi apabila salah seorang penulis lakon layarnya, Nick Vallelonga dan pelakon utamanya, Viggo Mortensen masing-masing telah mengeluarkan kenyataan berbaur anti Islam dan perkauman beberapa bulan sebelum berlangsungnya Oscar.

Pun begitu, ternyata perkara berkenaan tidak menjadi satu isu besar buat para pengundi untuk memilih Green Book sebagai penerima Filem Terbaik tahun ini sekaligus menewaskan tujuh calon lain termasuk Roma.


Rami Malek (dari kiri) pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Olivia Colman (Pelakon Wanita Terbaik), Regina King (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Mahershala Ali (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik).

Enam karya terbaik lain yang turut dicalonkan dalam kategori utama itu termasuklah A Star Is Born, BlacKkKlansman, Black Panther, Bohemian Rhapsody, The Favourite dan Vice.

Selain Filem Terbaik, Green Book yang dicalonkan untuk lima kategori turut membawa pulang trofi Lakon Layar Asal Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Mahershala Ali.

Dengan kemenangan tersebut, Ali yang merupakan pelakon beragama Islam itu telah melakar rekod peribadi dalam kariernya apabila memenangi kategori itu untuk kali kedua hanya dalam tempoh dua tahun selepas kali pertama menerimanya menerusi filem Moonlight pada 2017.

Bukan hanya kemenangan Green Book mencipta kejutan, tetapi kejutan seterusnya pada malam bersejarah itu turut berlaku apabila kategori Pelakon Wanita Terbaik dimenangi oleh Olivia Colman menerusi filem The Favourite.



Penyanyi Lady Gaga bersama Andrew Wyatt, Anthony Rossomandodan Mark Ronson selepas memenangi trofi Lagu Asal Terbaik, Shallow daripada filem A Star Is Born.

Dengan pencalonan dan kemenangan pertama Colman itu, ia sekaligus telah membuatkan pencabar terdekatnya, Glenn Close yang dicalonkan bagi filem The Wife terpaksa pulang berputih mata.

Sebelum ini, Close telah mendominasi hampir kesemua majlis penganugerahan filem untuk musim kali ini dan disebut-sebut untuk memenangi Oscar pertamanya selepas tujuh kali dicalonkan.

Untuk rekod, pelakon legenda berusia 71 tahun itu pernah dicalonkan sebanyak tiga kali untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan empat kali bagi Pelakon Wanita Terbaik termasuk filem The Wife.

Dengan kekalahannya itu, Close kini menjadi satu-satunya pelakon wanita di dalam sejarah sinema Hollywood yang menerima pencalonan Oscar terbanyak tanpa memenangi sebarang kemenangan.

Rami Malek memberikan persembahan cemerlang dalam filem Bohemian Rhapsody.

Meskipun menerima 10 pencalonan tahun ini, filem Roma masih lagi mampu berpuas hati dengan tiga kemenangan yang diperolehi menerusi Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Filem Bahasa Asing Terbaik yang kesemuanya menjadi milik Cuaron.

Kemenangan Roma dan Cuaron untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik pastinya membuatkan rakyat Mexico berbangga dengan karya tersebut apabila ia menjadi filem pertama dari negara itu memenangi kategori berkenaan.

Sebelum ini, filem dari negara itu pernah dicalonkan sebanyak sembilan kali dalam kategori berkenaan sejak kali pertama bermula pada tahun 1960.

Malah, Cuaron juga boleh tersenyum puas dengan pencapaiannya selaku Pengarah Terbaik apabila ia merupakan pengiktirafan keduanya untuk kategori itu selepas kali pertama memenanginya untuk filem hebat, Gravity pada tahun 2014.

Kehadiran Priyanka Chopra dan Nick Jonas mencuri perhatian.

Sementara itu, kategori Pelakon Lelaki Terbaik memperlihatkan kemaraan Rami Malek apabila menutup musim anugerah ini dengan menerima trofi Oscar pertamanya menerusi filem Bohemian Rhapsody.

Ternyata watak bekas penyanyi kumpulan legenda Queen, Freddie Mercury membawa tuah buat Malek walaupun terpaksa berhadapan dengan saingan yang bukan calang-calang daripada Christian Bale yang mempamerkan kehebatan lakonannya dalam filem Vice.

Tiga calon lain yang berebut gelaran itu adalah Bradley Cooper untuk filem A Star Is Born, Willem Dafoe (At Eternity’s Gate) dan Viggo Mortensen (Green Book).

Kemenangan Malek itu sekaligus melengkapkan kejayaan filem Bohemian Rhapsody apabila turut memenangi tiga kategori teknikal lain termasuk Suntingan Filem Terbaik pada majlis tersebut.

Alfonso Cuaron menang Pengarah Terbaik menerusi filem Roma.

Bintang pop terkemuka, Lady Gaga yang gagal memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik masih mampu tersenyum dan berpuas hati dengan kemenangannya menerusi kategori Lagu Asal Terbaik bagi lagu Shallow dari filem A Star Is Born.

Biarpun terpaksa akur dengan kemenangan Green Book untuk Filem Terbaik, filem adiwira kegemaran ramai, Black Panther tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi tiga kategori teknikal iaitu Rekaan Kostum Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Dalam pada itu, buat pertama kalinya selepas 30 tahun, Oscar tidak dikemudikan oleh mana-mana hos selepas pelakon komedi terkenal, Kevin Hart melepaskan tawaran itu gara-gara kenyataannya yang berbaur kebencian terhadap golongan homoseksual diperkatakan semula selepas dia menerima tawaran tersebut.

Bukan itu sahaja, penganjuran kali ini turut berhadapan dengan pelbagai kontroversi yang membuatkan karyawan seni Hollywood tidak memberi muka dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap penganjur.

SENARAI PENUH PEMENANG ANUGERAH AKADEMI KE-91

Filem Terbaik: Green Book

Pengarah Terbaik: Alfonso Cuaron – Roma

Pelakon Lelaki Terbaik: Rami Malek – Bohemian Rhapsody

Pelakon Wanita Terbaik: Olivia Colman – The Favourite

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Mahershala Ali – Green Book

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Regina King – If Beale Street Could Talk

Lakon Layar Asal Terbaik: Nick Vallelonga, Brian Hayes Curie & Peter Farrelly – Green Book

Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Charlie Wachtel, David Rabinowitz, Kevin Willmott & Spike Lee – BlacKkKlansman

Filem Animasi Terbaik: Spider-Man: Into The Spider-Verse

Filem Bahasa Asing Terbaik: Roma (Mexico)

Sinematografi Terbaik: Alfonso Cuaron – Roma

Rekaan Kostum Terbaik: Black Panther

Rekaan Produksi Terbaik: Black Panther

Solekan dan Penggayaan Rambut Terbaik: Vice

Adunan Bunyi Terbaik: Bohemian Rhapsody

Suntingan Filem Terbaik: Bohemian Rhapsody

Suntingan Bunyi Terbaik: Bohemian Rhapsody

Efek Visual Terbaik: First Man

Lagu Asal Terbaik: Lady Gaga, Mark Ronson, Anthony Rossomondo & Andrew Wyatt – Shallow (A Star Is Born)

Skor Muzik Asal Terbaik: Ludwig Goransson – Black Panther

Filem Animasi Pendek Terbaik: Bao

Filem Pendek Terbaik: Skin

Filem Dokumentari Terbaik: Free Solo

Filem Dokumentari Pendek Terbaik: Period. End of Sentence.

Artikel Lain